Rabu, 31 Julai 2019 | 3:50pm
Corak tidur Ainul Mardiah Ahmad Safiuddin, 11 bulan, masih belum seragam. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Corak tidur Ainul masih masih belum seragam

KUALA LUMPUR: Sejak pulang ke tanah air, corak tidur Ainul Mardiah Ahmad Safiuddin, 11 bulan, masih belum seragam.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata anaknya itu akan berjaga malam dan tidur pada waktu siang.

“Budak nilah yang pukul 12 malam semalam sampai lima pagi tak nak tidur. Dia main sorang-sorang.

Kesian mama dia kena buli.

“Sekarang ini baru nak tidur nyenyak. Walid sampai, walid pula kena buli dia tak kasi tidur. Padan muka,” katanya dalam paparan di akaun Facebook dan Instagram miliknya.

Akaun media sosial itu dikemas kini beberapa jam yang lalu oleh Ahmad Safiuddin Ahmad dengan memuat naik gambar terbaru Ainul Mardhiah yang beraksi seakan memandang kamera ketika gambarnya dirakam.

Ahmad Safiuddin juga berkata anaknya sudah bijak menunjukkan riak wajah apabila diusik.

“Dah siang ni baru nak tidur. Walid kacau suruh dia bangun, dia marah. Muka tu dah penuh air liur basi. Hisap jari lepas tu pi (itu pergi) sapu satu muka,” katanya.

Ainul Mardhiah kini menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dibawa pulang dari London, Ahad lalu.

Bayi itu dibawa ke London pada 25 Mei lalu untuk menjalani pembedahan kanser ‘Germ Cell Tumor’ di mulut, bagi membuang ketumbuhan seberat 200 gram pada 10 Jun lalu di Hospital Great Ormond Street, London.

Pembedahan dilakukan sekumpulan pakar bedah dan bius, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Selepas pembedahan itu, Ainul Mardhiah yang pada awalnya memiliki berat badan 2.5 kilogram (kg) ketika tiba di London, menunjukkan perkembangan menakjubkan apabila beratnya bertambah secara konsisten sehingga 3.1kg.

2377 dibaca
Berita Harian X