Selasa, 30 Julai 2019 | 11:18am
Pada 6 Mac 1986, pasangan ini diijabkabulkan, manakala majlis persandingan diadakan 19 Julai, tahun yang sama, di Istana Johor mengikut adat istiadat perkahwinan diraja serta dihadiri 8,000 tetamu.

Mimpi dipatuk ular

BAGAIKAN cerita dongeng dan itulah kepercayaan lazim orang Melayu, iaitu apabila bermimpi dipatuk ular, bermakna mereka akan dipinang seseorang.

Bagaimanapun, mimpi dipatuk ular adalah kisah realiti dialami Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sebelum diijab kabul 33 tahun lalu dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sambil menguntum senyum mengimbau kisah itu, Tunku Azizah berkongsi kisah tiga minggu sebelum rombongan diraja datang melamar, baginda bermimpi dipatuk ular.

“Saya beritahu kekanda, jika dalam mimpi dipatuk ular, orang Melayu percaya itu tandanya hendak berkahwin. Dalam mimpi itu, saya berada di dalam sebuah bilik, semuanya serba kuning dan sedang duduk di atas singgahsana seperti di istana. Ada tiga lelaki bertanjak dan berkeris datang, meminta saya berkahwin.

“Saya memberitahu bonda mengenai mimpi kisah saya dipatuk ular, manakala yang lain, saya simpan untuk diri sendiri,” titah baginda.

Tiga minggu kemudian, pada majlis hari jadi Tengku Mahkota Pahang, Paduka Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mengumumkan putera baginda akan mendirikan rumah tangga tetapi tidak memberitahu siapa calonnya.

Selepas pengumuman itu, Tunku Azizah mendapat panggilan telefon seseorang dari Pahang yang memberitahu, Sultan Ahmad Shah mahu Tunku Azizah berkahwin dengan Tengku Mahkota Pahang.

Tunku Azizah terkejut kerana Tengku Mahkota tidak pernah melamarnya. Tiba-tiba, berita itu yang diterima.

Beberapa hari kemudian, tiga wajah sama dalam mimpi tetapi tidak bertanjak iaitu ayahanda saudara Tengku Mahkota Pahang, datang mengetuai rombongan meminang.

“Ayahanda bertanya, adakah Tengku Mahkota yang hendak berkahwin atau ia perkahwinan diatur ayahanda dan bonda. Jika ia diatur, pinangan itu tidak akan diterima.

“Bagaimanapun, selepas tiga hari ayahanda menyatakan pinangan itu sudah diterima, tetapi terlupa hendak memberitahu saya. Titah ayahanda, kata ‘Ya ajelah’,” cerita baginda.

Pada 6 Mac 1986, pasangan itu diijabkabulkan, manakala majlis persandingan diadakan 19 Julai, tahun yang sama, di Istana Johor mengikut adat istiadat perkahwinan diraja serta dihadiri 8,000 tetamu.

Sijil nikah Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

“Ayahanda tegas, walaupun sudah bernikah kami tidak boleh keluar sehingga majlis persandingan,” titah baginda.

Sebenarnya, jalinan kasih yang terikat antara kedua-dua pasangan ini sudah lama iaitu ketika Tunku Azizah berusia 12 tahun, manakala Al-Sultan Abdullah, 13 tahun.

Namun, sepanjang perkenalan, tidak pernah sekali pun, Al-Sultan Abdullah membawa Tunku Azizah keluar.

“Kali pertama kami bertemu ialah di padang polo, di Johor. Ketika itu selalu diadakan perlawanan polo antara Pahang dan Johor.

“Perkenalan kami semakin rapat, saling berutus surat dan sering membuat panggilan telefon. Tetapi ‘no dating!’.

Setiap kali nak jumpa, kenalah Tuanku datang santap tengah hari dengan ayahanda.

“Kami tidak boleh keluar berdua atau tengok wayang dan minum kopi bersama.

‘No way!’

Semua itu tidak dibenarkan langsung. Nasib baik, tidak ada WhatsApp masa itu tetapi sekurang-kurangnya adalah kami berutus surat dan ia masih disimpan sampai sekarang.

“Apabila Tuanku belajar di London, seminggu sekali kami berbalas surat dan menghantar gambar. Dapat saja surat, terus balas. Begitu juga Tuanku, tidak bertangguh membalasnya.

“Bagaimanapun, kami kenal lebih rapat selepas berkahwin. Nenda yang sebenarnya, mahu perkahwinan antara kami terjadi kerana ingin mengeratkan tali persaudaraan, Johor dan Pahang.

“Tetapi saya ingat, tak silap ketika saya berusia 23 tahun, Tuanku ada bertanya saya;

“Mahukah kamu menjadi isteri saya suatu hari nanti?”

Saya membalas

“Adakah Tuanku menganggap saya cukup baik untuk menjadi ibu kepada anak Tuanku?,” titah baginda.

Disebabkan ketegasan ayahanda tidak membenarkan kerap berjumpa, nenda berperanan utama dan mencari jalan supaya dapat bersama.

“Nenda selalu ajak Tuanku datang ke Johor main polo. Kalau tidak buat cara itu, tidak dapatlah berjumpa,” kata Tuanku Azizah ketawa mengingat memori indah itu.

Bonda mentua Almarhum Sultanah Pahang, Tengku Ampuan Afzan Rahimahallah antara insan paling rapat dengan Tunku Azizah selepas perkahwinan itu.

“Saya sayang bonda mentua seperti bonda sendiri, tetapi kami berkesempatan kenal antara satu sama lain hanya dua tahun. Almarhum betul-betul bonda sejati kepada saya,” titah baginda.

Berita Harian X