Selasa, 30 Julai 2019 | 10:30am
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama yang dibarisi 107 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sempena istiadat pertabalan baginda di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Upacara Hormat Diraja dahului atur cara Istiadat Pertabalan

KUALA LUMPUR: Upacara penuh ketenteraan Hormat Diraja di Dataran Istana Negara mendahului atur cara Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Upacara yang membabitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu adalah lambang taat setia pasukan pertahanan negara kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM.

Acara bermula dengan keberangkatan tiba Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Anjung Tamu, Istana Negara dan kemudiannya diiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa ke Peterana Diraja.


Anggota tentera dari pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja Kem Sungai Buloh bersiap sedia melepaskan 21 das tembakan meriam pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Sebaik tiba di Peterana Diraja, Yang di-Pertuan Agong diberi Hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama yang dibarisi 107 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Serentak itu, lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat RAMD dan Panji Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikibarkan.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain pangkat, diketuai Mejar Abdul Hafizi Abdul Halim.

Selesai pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi menerima Hormat Diraja dan lagu Negaraku berkumandang.

Seri Paduka berdua kemudiannya diiringi dif-dif kehormat berangkat meninggalkan Peterana Diraja ke Dewan Sri Maharaja bagi meneruskan atur cara Istiadat Pertabalan. – BERNAMA

Berita Harian X