Isnin, 29 Julai 2019 | 2:10pm
Dr Dzulkefly berucap pada Persidangan dan Pameran Kesihatan Antarabangsa 2019 oleh Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias

Rangka sistem biaya kesihatan terbaik

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang merangka sistem pembiayaan penjagaan kesihatan terbaik bagi memudahkan pesakit membuat pembayaran ketika mendaftar masuk atau keluar selepas mendapatkan rawatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata bagi merealisasikan tujuan itu kerjasama semua pihak berkaitan kesihatan dan institusi kewangan berkaitan begitu diperlukan supaya dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau berkata, pelaksanaan itu membabitkan kerajaan, swasta, penyedia insurans, wakaf, majikan dan beberapa agensi berkaitan yang lain.

“Mungkin banyak perbincangan dengan peserta industri akan dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Kesihatan Antarabangsa 2019 oleh Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi APHM, Datuk Dr Kuljit Singh.

Beliau berkata, memandangkan kos perubatan yang tinggi, tidak semua individu mampu menjelaskannya sedangkan pada masa sama mereka berhak mendapat perkhidmatan rawatan terbaik.

Ketika ini, perbelanjaan kesihatan sekitar 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Perbelanjaan itu masih menjadi perbelanjaan awam, membabitkan jumlah kira-kira 55 peratus daripada perbelanjaan rawatan keseluruhannya. Jumlah itu tidak boleh bertahan untuk tempoh jangka masa panjang.

Dr Dzulkefly berkata, idea mewujudkan satu pusat setempat itu selepas kerajaan mendapati negara menghadapi cabaran kenaikan perbelanjaan kesihatan seperti kebanyakan negara berpendapatan pertengahan dan tinggi.

“Sistem kesihatan awam kini dibiayai daripada hasil dan cukai oleh kerajaan, sementara sektor swasta dibiayai pesakit dengan poket sendiri.

“Namun kini semakin ramai membayarnya menggunakan pihak ketiga sama ada menerusi polisi insurans atau surat jaminan majikan.

“Walaupun kita menghadapi cabaran kewangan, namun kerajaan tetap mampu menyediakan penjagaan kesihatan yang boleh diakses rakyat, berpatutan dan tepat mengikut keperluan,” katanya.

Katanya, bagi menangani kebimbangan golongan berpendapatan rendah (B40), kerajaan melancarkan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40). Skim ini melayakkan semua penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan, berusia 50 tahun ke atas menyertainya.

Sementara itu, Persidangan dan Pameran Kesihatan Antarabangsa APHM 2019, menyaksikan seramai 700 peserta membabitkan 140 peserta pameran mengambil bahagian.

Selain pameran produk kesihatan, persidangan turut menampilkan beberapa penceramah terkemuka dari Amerika Syarikat, Australia, Singapura dan tuan rumah berkongsi pendapat mengenai kesihatan terkini selaras tema persidangan, Tadbir Urus Korporat & Klinikal: Perkongsian dan Penyertaan.

Pada majlis itu, beliau melancarkan empat buku dalam usaha memperkemaskan peraturan bagi meningkatkan kecekapan proses penubuhan hospital.

Antaranya Panduan Menubuhkan Hospital Swasta Baru di Malaysia: Proses Penyerahan dan Harmonisasi Keperluan Teknikal; Panduan Menubuhkan Hospital Swasta Baru di Malaysia: Keperluan dan Prosedur di bawah Akta 586; Prosedur Permohonan Pembaharuan Lesen untuk Hospital Swasta dan Garis Panduan untuk Memperluas atau Mengubah Hospital Swasta.

Semua buku ini adalah sebahagian inisiatif kementerian dengan kerjasama Nexus Produktiviti Kesihatan Persendirian, Kumpulan Fokus PEMUDAH Berurusan, Bomba dan Penyelamat Malaysia, pihak berkuasa tempatan, Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan perunding teknikal.

Berita Harian X