Isnin, 29 Julai 2019 | 2:00pm
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyambut keberangkatan tiba Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, hari ini. - Foto BERNAMA

Agong, Raja Permaisuri berangkat sambut rombongan Sultan Brunei

SUBANG: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyambut keberangkatan tiba Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, hari ini.

Turut berangkat menyambut ketibaan pasangan diraja Brunei itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Sultan Brunei adalah antara dua tetamu kenamaan diraja yang akan berangkat menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, di Istana Negara esok.

Turut dijadual hadir ialah Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan yang dijangka tiba pagi esok.

Turut hadir menyambut keberangkatan tiba tetamu diraja itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku menteri pengiring.

Pesawat yang membawa rombongan tetamu diraja Brunei dengan kira-kira 20 anggota delegasi selamat mendarat di Pangkalan TUDM, tepat 12 tengah hari tadi.

Pasangan diraja Brunei juga dijadual berangkat ke Majlis Santapan Diraja di Istana Negara pada Rabu ini yang diadakan sempena Istiadat Pertabalan. – BERNAMA

Berita Harian X