Ahad, 28 Julai 2019 | 4:50pm

Tapak pelupusan sampah haram Kampung Kemumbong disita

SUNGAI PETANI: Kotor, busuk dan meloyakan. Itu keadaan tapak pelupusan sampah haram di Kampung Kemumbong, Sidam Kiri, yang disita kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Tindakan itu dibuat selepas tinjauan tapak dibuat Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew bersama pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah.

Kok Yew berkata, tapak pelupusan sampah haram seluas 1.4 hektar itu didapati melakukan kerja pembuangan sampah yang turut menyebabkan pencemaran di Sungai Muda sejak tahun 2008.

Katanya, antara sisa sampah dibuang adalah bahan plastik, tanaman, bahagian kenderaan, elektronik dan bahan kimia yang dipercayai dibawa dari kilang di Pulau Pinang.

“Berkuat kuasa serta-merta, tapak pelupusan sampah ini disita bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat SWCorp Kedah dan MPSPK, selain mengesan punca sebenar sisa sampah ini.

“Kita kesal kerana pemilik tanah ini membenarkan kawasannya dijadikan tapak pelupusan sampah dengan ada antara sampah dibawa dari Pulau Pinang untuk dilupuskan di Kedah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

BH gari ini melaporkan kegiatan seorang pemilik tanah membenarkan sekurang-kurangnya 30 lori membawa muatan sampah sehari untuk dilupuskan di situ dengan bayaran RM20 setiap lori.

Kegiatan yang berlarutan sejak 11 tahun lalu itu, menyebabkan keadaan tidak selesa kepada kira-kira 500 penduduk kampung kerana ia mengeluarkan bau dan keadaan berhabuk kepada mereka.

Kok Yew berkata, tindakan menyita itu dibuat mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam kerana pemilik tanah didapati melupuskan sampah di kawasan tidak dibenarkan.

“Kita akan ambil tindakan ke atas pemilik tanah dan memberi jaminan kepada penduduk kampung bahawa semua sisa sampah akan dibersihkan selepas siasatan termasuk ujian sampel air di Sungai Muda selesai dibuat.

“Secara keseluruhan, keadaan di sini terkawal dan kita akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan tindakan akan diambil segera selepas ini,” katanya.

Difahamkan, satu mesyuarat membabitkan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, SWCorp Kedah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah diadakan petang ini, dengan keputusan mengenainya diumumkan esok.

Sementara itu, pemilik tanah, Ishak Che Su, 60, berkata sampah dilonggok di tapak itu bagi menimbus kembali kawasannya yang dihakis Sungai Muda sejak lebih 10 tahun lalu.

“Saya terpaksa meminta lori sampah melonggokkan sampah bagi menimbun kembali tanah yang dihakis ke dalam Sungai Muda sebelum merancang menimbun tanah di atasnya.

“Saya tidak tahu sisa sampah apa yang dibawa lori kerana jumlah dibawa masuk tidak banyak, selain tidak tahu ia menjadi kesalahan,” katanya yang merancang mengusahakan ladang ternakan lembu di kawasan terbabit.

PENGERUSI Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew (kiri) meninjau tapak pelupusan sampah haram di Kampung Kemumbong. - Foto Nor Farhani Che Ad
Berita Harian X