Ahad, 28 Julai 2019 | 3:03pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Nurul Shafina Jemenon

'Pendirian saya tidak bercanggah' - Tun M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan bahawa pendiriannya bercanggah dalam isu salah laku seks membabitkan anggota Jemaah Menteri pada 1998 serta kes terbaru penyebaran video lucah dikaitkan dengan seorang menteri.

Perdana Menteri berkata, berbanding isu video lucah, tindakan yang diambil terhadap dakwaan salah laku seks membabitkan bekas anggota Kabinetnya pada 1998 tidak berdasarkan klip video, sebaliknya keputusan sudah dibuat oleh mahkamah.

"Saya dituduh berbeza pendirian berhubung dakwaan salah laku seks membabitkan seorang anggota Kabinet pada 1998 dan kes video lucah yang dikaitkan dengan seorang anggota Kabinet saya pada masa ini. Pendirian saya tidak bercanggah.

"Tindakan yang diambil pada 1998 tidak berdasarkan klip video. Klip video terbabit muncul kemudian. Mahkamah sudah membuat keputusannya. Klip video ketika itu tidak mempengaruhi mahkamah atau orang lain termasuk saya," katanya.

Dr Mahathir yang memberi penjelasan itu menerusi blog chedet.cc hari ini, berkata dalam kes terbaru, video lucah itu disebarkan terlebih dahulu dan jelas ia cubaan untuk mencemarkan imej dan masa depan individu berkenaan.

"Jika saya mengambil tindakan, ia ibarat saya bersubahat menjayakan rancangan mereka. Saya tidak mahu menjadi alat kepada perancang plot ini. Saya tidak mahu terbabit dalam politik kotor," katanya.

Insiden pada 1998 membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, manakala kes terbaru dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Berita Harian X