Sabtu, 27 Julai 2019 | 10:30pm
Keadaan Sungai Jarum yang tercemar kesan dari pembinaan kilang di Kampung Jenjarum. Sungai Jarum antara salah satu sungai yang mengalir ke Sungai Langat. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Kita sendiri 'racun' sumber air

KUALA LUMPUR: Sikap masyarakat menjadikan sungai seolah-olah tempat pelupusan sampah sarap, sisa pertanian serta industri, antara punca utama pencemaran sumber air di negara ini, akhirnya menyusahkan diri sendiri.

Sungai negara ini yang jernih airnya di hulu, bertukar keruh dan kotor serta tercemar akibat pelbagai perbuatan masyarakat yang mencemarinya ketika mengalir melalui kawasan penempatan penduduk, kebun pertanian, ladang ternakan serta kawasan perindustrian.

Pada masa sama, penguatkuasaan undang-undang yang lemah membabitkan pelbagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kebersihan sungai, alam sekitar dan pembersihan serta pelupusan sampah, menyebabkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu terus berlaku.

Pencemaran menyebabkan syarikat pengurusan bekalan air berdepan masalah kerana perlu memberhentikan operasi loji apabila bekalan air mentah dicemari bahan tidak dapat dibersihkan menerusi pemprosesan sebelum air bersih dapat diagihkan kembali kepada pengguna.

Situasi itulah yang sering dialami syarikat utiliti air di Lembah Klang, setiap kali sumber air mentah yang mahu diproses secara tiba-tiba dikesan tercemar sehingga memerlukan langkah pembersihan dan penyelenggaraan loji.

Kenyataan bahawa orang ramai menjadikan sungai sebagai tempat pelupusan sampah bukan andaian, sebaliknya terbukti menerusi tinjauan BH 10 kilometer menyusuri Sungai Gombak bermula muka sauk untuk Loji Rawatan Air (LRA) Wangsa Maju di Kampung Sungai Chinchin dan di Sungai Jenjarom hingga LRA Semenyih 2 di Jenderam Hilir, Dengkil.

LRA Wangsa Maju dan Semenyih 2 yang dikendalikan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) adalah antara LRA yang membekalkan air bersih untuk penduduk sekitar ibu kota dan sebarang pencemaran boleh menyebabkan jutaan pengguna menanggung sengsara.

Bermula dari LRA Wangsa Maju di Batu 9, Kampung Sungai Chinchin, Gombak, wartawan BH menyusuri laluan hingga ke muka sauk Sungai Gombak sebelum bergerak ke hulu melalui Jalan Gombak-Genting Sempah.

Tinjauan mendapati air yang disedut untuk diproses oleh LRA kelihatan keruh dengan bahagian perangkap dipenuhi pelbagai sampah sarap domestik yang dipercayai dihanyutkan dari kawasan perumahan dan premis.

Perjalanan diteruskan melalui kawasan perkampungan sebelum mendapati banyak rumah serta premis termasuk depoh bas dan bengkel kenderaan beroperasi berhampiran sungai.

Penduduk yang ditemui mendakwa tidak sanggup mandi di sungai itu kerana bau hanyir dan busuk, akibat pencemaran sampah.

“Dulu boleh mandi, tetapi sekarang kami tidak sanggup lagi berbuat demikian walaupun ada kalanya air kelihatan jernih kerana ia berbau busuk. Mungkin dicetuskan sampah sarap yang dibuang di tepi jalan berhampiran sungai di kawasan laluan berhutan,” kata Sulaiman Ahmad, 25, penduduk yang ditemui di Kampung Sungai Salak.

Berdasarkan maklumat itu, tinjauan diteruskan melalui Jalan Gombak ke Genting Sempah sebelum menemui tiga lokasi pembuangan sampah haram di tepi jalan berhampiran Hutan Simpan Hulu Gombak.

Sebahagian besar sampah sarap dibuang di situ jatuh ke bahagian bawah cerun bukit yang menempatkan anak sungai bersambung dengan Sungai Gombak yang menjadi sumber air kepada muka sauk LRA Wangsa Maju.

Lebih mengejutkan, apabila bahan serbuk berwarna biru dan kuning dipercayai bahan kimia, ditemui di dua lokasi berbeza. Bahan yang dibuang dari atas tebing itu turut terkena pokok di sekitarnya hingga menyebabkan tumbuhan terbabit mati.

Beberapa guni mempunyai logo syarikat dan jenis bahan kimia digunakan. Semakan kemudian mendapati bahan itu dipercayai digunakan untuk menghasilkan produk berasaskan plastik seperti bekas makanan, plastik sampah dan penutup botol, rak plastik.

Ketika menyusuri beberapa anak sungai dan punca air yang menghubungkan Sungai Semenyih dan Sungai Langat, pula tinjauan mendapati selain perumahan, sungai itu mengalir menerusi kawasan industri sederhana dan berat.

Penduduk Kampung Jenjarom yang ditemui, mendakwa banyak kilang di situ yang melepaskan sisa operasi menerusi saliran yang disambung dengan Sungai Jarum yang mengalir ke Sungai Langat.

Mereka mendakwa, pelepasan sisa industri itu dilakukan pada waktu malam dan kesannya cukup ketara menjelang pagi kerana sisa yang dialirkan ke parit mengeluarkan bau busuk.

Tinjauan mendapati, aliran sisa melalui longkang kecil di tepi sebuah kedai makan dengan airnya berwarna gelap.

Menurut penduduk, warna air longkang itu dikatakan bertukar hitam pekat apabila sisa operasi kilang dilepaskan pada waktu tengah malam hingga awal pagi.

Sungai Jarum itu mempunyai kunci air yang digunakan bagi mengawal paras sebelum dilepaskan ke Sungai Buaya.

Tinjauan di kawasan kunci air Sungai Jarum yang bersambung dengan Sungai Buaya, mendapati banyak sisa sampah di kawasan sungai serta ikan yang mati, dipercayai akibat air yang tercemar. Beberapa kilang turut beroperasi di kawasan berhampiran sungai terbabit.

Penduduk yang ditemui, Mohd Nazri Afrizal, 36, mendakwa sebuah kilang di situ pernah diarahkan tutup selepas didapati membuang sisa ke sungai tetapi kini kembali beroperasi seperti biasa.

“Ini yang mengejutkan kami kerana kilang itu kembali beroperasi walaupun kami difahamkan diberi kebenaran sementara sehingga pertengahan Ogos ini.

“Penduduk di sini sudah beberapa kali membuat laporan kepada pihak berkaitan tetapi maklum balas yang kami terima mengecewakan.

“Sebelum ini kami pernah mengeluarkan belanja sendiri untuk melakukan ujian sampel di makmal. Hasilnya memang positif. Kami tidak sanggup melihat anak cucu kami menanggung nasib malang seperti yang berlaku di Sungai Kim-Kim di Johor,” katanya.

Susulan laporan dibuat penduduk, Nazri mendakwa, Kementerian Kesihatan pernah mengambil sampel rambut dan darah penduduk untuk mengenal pasti kesan pencemaran yang dialami mereka.

Namun, dakwanya sehingga kini, mereka belum menerima hasil siasatan yang dijalankan itu.

Beberapa penduduk lain turut membangkitkan isu sama tetapi menyifatkan bantahan penduduk di situ hanya sia-sia.

Tinjauan di sekitar LRA Semenyih 2, pula mendapati beberapa kolam tadahan air di situ disambungkan dengan Sungai Langat yang keruh airnya.

Beberapa pemancing ditemui, mendakwa air Sungai Langat itu keruh kerana akibat hujan lebat di hulu, beberapa jam sebelum tinjauan itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail, berkata kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi mengelakkan pencemaran sungai dan menjejaskan bekalan air kepada jutaan pengguna di Kuala Lumpur dan Selangor terus berulang.

Katanya, isu gangguan bekalan air di Kuala Lumpur dan Selangor kerap berlaku dan alasan diberikan adalah pencemaran bau serta kimia berpunca akibat pembuangan bahan buangan kilang, domestik, pertanian dan larian air permukaan.

“Memandangkan sumber air bersih bergantung kepada air permukaan maka pemantauan kualiti air sungai dan sebab yang berpotensi menyebabkan pencemaran air sangat penting.

“Peraturan ketat seperti pemantauan buangan sisa industri dan sampah haram atau tidak mengikut peraturan mesti dilaksanakan, selain itu peraturan zon penampan juga harus diperkenalkan bagi semua sungai dari hulu ke hilir,” katanya.

Ahmad turut mencadangkan kerajaan mengaktifkan semula program memupuk kesedaran menjaga kebersihan sungai seperti ‘Cintai Sungai Kita’ yang popular dalam kalangan masyarakat.

“Kerjasama di antara agensi seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan juga harus dipertingkatkan,” katanya.

Berita Harian X