Sabtu, 27 Julai 2019 | 5:14pm
ANTARA pelajar yang melibatkan diri dalam aktiviti menanam pokok sempena sambutan Hari Harimau Sedunia peringkat kebangsaan diadakan di Cameron Highlands, hari ini. - Foto ihsan PERKAM

Populasi Harimau Malaya berada di angka 'darurat'

CAMERON HIGHLANDS: Pembangunan dan penebangan hutan tidak terancang antara punca bilangan Harimau Malaya negara berada di tahap ‘darurat’.

Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM), Dr S Santharasekaran, berkata faktor utama lain adalah kegiatan pemburuan haram harimau serta pemburuan haiwan makanan utama haiwan liar itu seperti babi hutan, kancil dan mamalia kecil lain.

Katanya, dianggarkan hanya antara 150 hingga 200 Harimau Malaya masih ada di Semenanjung Malaysia ketika ini.

“Ini boleh dianggap sebagai angka ‘darurat’ kepada spesies itu iaitu hampir pupus di habitat sebenar.

“Jika tiada sebarang tindakan segera untuk memulihkan kemandirian Harimau Malaya, kemungkinan besar khazanah negara ini hanya tinggal sejarah dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang,” katanya ketika dihubungi sempena sambutan Hari Harimau Sedunia peringkat kebangsaan diadakan di sini, hari ini.

Dr Santharasekaran berkata, PERKAM akan berusaha memastikan Harimau Malaya terus kekal dan berganda bilangannya melalui aktiviti yang dianjurkan supaya rakyat Malaysia berbangga kerana masih mempunyai khazanah alam yang unik di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata, sambutan Hari Harimau Sedunia peringkat kebangsaan di sini, turut disertai 70 murid sekolah.

Katanya, program anjuran PERKAM bersama Renjer Konservasi Alam Malaysia (RKAM) itu membabitkan ahli dari Perak, Selangor, Pahang dan Kedah, dalam usaha memberi pendedahan dan pengetahuan kepada generasi muda status kemandirian Harimau Malaya, sekali gus memupuk minat mereka untuk melindungi haiwan itu yang masih ada di negara ini.

“Kami mahu menanam minat dan kesedaran dalam kalangan pelajar agar ada rasa kasih sayang dan perasaan tanggungjawab terhadap Harimau Malaya.

“Pendekatan program ini dijangka mampu memberi inisiatif kepada semua anggota masyarakat agar dapat memelihara dan memulihara alam terutama di kawasan habitat harimau,” katanya.

Baru-baru ini, gempar Harimau Malaya yang diberi jolokan Awang Besul muncul berkeliaran di kawasan penempatan di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun, Terengganu.

Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), berjaya menangkap haiwan itu dan dihantar untuk dirawat serta dikuarantin di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC), Sungkai, Perak, namun disahkan mati dengan keputusan virologi menunjukkan Awang Besul positif ‘Virus Canine Distemper’.

Berita Harian X