Sabtu, 27 Julai 2019 | 4:10pm
PRESIDEN Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran. - Foto Azhar Ramli

Kaji pelan pembangunan sebelum luluskan projek, kegiatan sepanjang sungai

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu melihat pelan pembangunan di kawasan masing-masing, sebelum meluluskan sebarang projek atau kegiatan bagi mengelakkan sumber air tercemar hingga menjejaskan pengguna.

Pada masa sama, kerajaan juga perlu memeriksa status kilang di seluruh negara dengan menutup premis haram dan mengenal pasti sungai yang kritikal daripada segi pencemaran.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran, berkata setiap kelulusan diberikan PBT harus melihat kepada kesannya kepada alam sekitar, terutama sumber air yang diperoleh daripada sungai.

Katanya, sekiranya ada rumah setinggan dibina di tepi sungai yang kebanyakan didiami golongan kurang berkemampuan, kerajaan perlu membantu rumah mampu milik buat mereka di kawasan lain yang tidak memberi kesan kepada sungai sebagai sumber bekalan air.

“Begitu juga dengan perindustrian, tutup kilang haram supaya pemantauan mudah dilakukan... sekarang ini mungkin masih banyak kilang haram beroperasi yang menyebabkan sukar hendak mengenal pasti pihak melakukan kesalahan apabila terjadi sesuatu (kes pencemaran).

“Jangan minta masyarakat beri maklumat itu (kilang haram) kerana mereka pun tidak tahu status kilang terbabit haram atau sebaliknya, pihak berkuasa kena mainkan peranan sebab mereka ada data lengkap,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan khas BH hari ini sikap masyarakat menjadikan sungai seolah-olah tempat pelupusan sampah sarap, sisa pertanian serta industri menjadi antara punca pencemaran air di negara ini yang akhirnya menyusahkan diri sendiri.

Sungai negara ini yang jernih airnya di hulu bertukar keruh dan kotor serta tercemar akibat pelbagai perbuatan masyarakat yang mencemarinya ketika mengalir melalui kawasan penempatan penduduk, pertanian, ladang ternakan dan kawasan perindustrian.

Pada masa sama, penguatkuasaan undang-undang yang lemah membabitkan pelbagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kebersihan sungai, alam sekitar dan pembersihan serta pelupusan sampah menyebabkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu terus berlaku.

Kenyataan itu terbukti menerusi tinjauan BH menyusuri Sungai Gombak bermula muka sauk untuk Loji Rawatan Air (LRA) Wangsa Maju di Kampung Sungai Chinchin dan Sungai Jenjarom hingga LRA Semenyih2 di Jenderam Hilir, Dengkil.

Dalam pada itu, Piarapakaran berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga perlu mewujudkan satu sistem komprehensif yang antaranya menyenaraikan pembeli bahan kimia bagi memudahkan rujukan apabila berlaku pencemaran sungai.

“Kita sudah lama meminta perkara ini tetapi sehingga masih belum diwujudkan, sekarang sukar hendak mengesan pelakunya... kadang-kala pihak berkuasa melakukan serbuan secara rambang sehingga menyusahkan pihak tidak bersalah.

“Kerajaan juga harus mengenal pasti sungai yang kritikal bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk sebelum mengalihkan fokus kepada sungai kurang kritikal,” katanya.

Berita Harian X