Jumaat, 26 Julai 2019 | 6:40pm
Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed (kiri) menziarahi Hana Safiyyah (dua dari kiri) dan Hana Safina (dua dari kanan) di Seksyen 11 Shah Alam. - NSTP/Saddam Yusoff

Dua beradik yatim piatu tenang, reda kematian ibu bapa

SHAH ALAM: Dua anak pasangan suami isteri, Muhammad Hamadi Zakaria, 31, dan Nur Syuhadah Zaini, 31, yang maut dalam kemalangan di lorong motosikal Lebuh raya Persekutuan, Selasa lalu, semakin dapat menerima kenyataan sudah kehilangan ibu bapa mereka.

Adik Allahyarham Nur Syuhadah, Aizat Ahmad Zaini, 29, berkata, kedua-dua anak saudaranya itu dalam keadaan baik walaupun masih lagi bersedih dengan kematian ibu bapa mereka.

“Alhamdulillah, Hana Saffiyah dan Hani Safina tenang sahaja... seolah-olah memahami Mama dan Babah mereka kini sudah tiada.

“Pada hari kemalangan, Hana memang ada menangis tetapi sepanjang proses menguruskan jenazah sehingga ke tanah perkuburan, dia tenang sahaja, malah dia menaiki van jenazah dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ke Shah Alam bersama ibu saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bayaran Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Orang Tanggungan PERKESO, di sini hari ini.

Hadir menyampaikan bayaran faedah pengurusan mayat adalah Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed.

Aizat berkata, sebelum ini ada kenalan rapat keluarganya yang dipanggil `Grandpa’ oleh Hana meninggal dunia dan kanak-kanak itu diberitahu bahawa insan kesayangannya itu ke syurga.

“Jadi, Hana juga tahu Mama dan Babahnya juga syurga, Malah, Hana juga ada menyatakan bahawa Babah akan menjaga Mama kerana kedudukan kubur mereka yang bersebelahan.

“Buat masa ini, kami akan menjaga Hana dan Hani kerana ibu bapa abang ipar saya sedang menunaikan haji. Kami akan berbincang selanjutnya selepas mereka pulang. Saya juga tidak kisah untuk menjaga kedua-dua mereka bersama-sama adik beradik serta ibu bapa kami kerana hubungan kami amat rapat,” katanya.

Sementara itu, kedua-dua beradik itu layak menerima bantuan menerusi Faedah Orang Tangungan PERKESO bulanan iaitu sebanyak RM2,133 setiap seorang, manakala kedua-dua ahli keluarga mangsa turut menerima bantuan melalui Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 setiap seorang.

Mohamed Azman berkata, bantuan bulanan itu akan diberikan sehingga kedua-dua beradik berkenaan mencecah usia 21 tahun atau tamat pengajian di peringkat pengajian tinggi.

“Mereka juga secara rasmi akan dijadikan anak angkat oleh PERKESO dan mereka akan diberikan bimbingan menerusi Program Prihatin Keluarga Angkat Perkeso (PROTREK). PERKESO akan sentiasa memantau anak-anak ini, malah akan memberi bantuan dari segi keperluan seperti pelajaran.

“Dengan adanya program ini, kami dapat memantau perkembangan mereka dan kami mahu faedah-faedah yang mereka terima ini dapat membantu mereka membesar sebaik mungkin dan tidak terabai,” katanya.

889 dibaca
Berita Harian X