Khamis, 25 Julai 2019 | 4:39pm

Akta berkaitan alam sekitar banyak lompang

JOHOR BAHRU: Akta berkaitan alam sekitar perlu diperketatkan bagi memastikan kelompangan dalam akta itu ditangani dan menjadikannya lebih berkesan bagi mengatasi isu pencemaran yang semakin berleluasa.

Langkah itu juga membolehkan akta berkenaan lebih relevan dengan keadaan semasa terutama selepas kes pembuangan sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, Mac lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar, mengakui akta berkaitan alam sekitar sedia ada mempunyai kelompangan dan kelonggaran sehingga ia tidak menyelesaikan sepenuhnya isu pencemaran yang berlaku di dalam negara.

“Lebih utama, bencana sisa kimia berbahaya Sungai Kim Kim pada Mac lalu, mendedahkan bahawa JAS tiada bidang kuasa termasuk menyiasat atau mencerap kehadiran gas kimia berbahaya di persekitaran Pasir Gudang.

“Sebenarnya pengukuran parameter termasuk gas kimia contohnya seperti acrolein tidak terdapat dalam Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, sekali gus merencatkan penguatkuasaan serta tindakan susulan yang JAS mahu ambil.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

“Sudah tiba masanya kita mengkaji semula peraturan yang sedia ada bagi memasukkan parameter pengukuran gas yang dikenal pasti di udara yang mampu mencetuskan gangguan kesihatan dan berbahaya jika ia melebihi daripada sukatan dibenarkan,” katanya kepada BH, semalam.

Semalam BH melaporkan akta dan peraturan alam sekitar membabitkan perairan serta sungai di negara ini perlu dipinda dengan perundangan lebih tegas termasuk menetapkan hukuman serta denda lebih tinggi bagi menangani pencemaran kritikal terutama di Selat Johor.

Timbalan Dekan Penyelidikan, Pembangunan & Penerbitan, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Madya Dr Norzila Othman, dilaporkan berkata, langkah itu lebih berkesan dalam menangani pencemaran kritikal berbanding merobohkan Tambak Johor yang perlu dijadikan pilihan terakhir.

Keratan akhbar BH semalam.

Mengenai perancangan JAS Johor menangani pencemaran kritikal di Selat Johor, Wan Abdul Latiff berkata, Jawatankuasa Alam Sekitar Tetap Negeri Johor yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon, akan mengadakan mesyuarat pertama dalam masa terdekat.

Katanya, mesyuarat berkenaan akan menyelaras Jawatankuasa Kawalan Pencemaran Air, Kawalan Pencemaran Udara dan Kawalan Pencemaran Sisa Terjadual/Sisa Toksik, yang akan dianggotai kesemua agensi awam berkaitan.

“EXCO dan saya akan pantau jawatankuasa berkenaan supaya memulakan gerak kerja mengawal pencemaran di negeri ini terutama di kawasan Pasir Gudang dan Selat Johor secara bersepadu.

“Kita akan mula mesyuarat pertama dalam masa terdekat untuk bentangkan bidang rujukan jawatankuasa dan senaraikan semua agensi terbabit termasuk undang-undang yang boleh dikuatkuasakan setiap agensi dan bidang kuasa mereka,” katanya.

Berita Harian X