Selasa, 23 Julai 2019 | 5:44pm
SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

DUN Perak lulus usul wajibkan ADUN isytihar harta

IPOH: Perak menjadi negeri pertama mewajibkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengisytihar harta mereka dan ahli keluarga terdekat dalam akuan berkanun kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Usul bagi tujuan itu diluluskan pada persidangan DUN di sini hari ini selepas dibawa dan dibentangkan oleh Terence Naidu Raja Naidu (PH-Pasir Berdamar) dan kemudian dibahaskan oleh 10 ADUN lain sebelum dilulus dengan undian suara.

Langkah itu menyusul tiga minggu selepas Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu, meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang mengisytiharkan harta.

ADUN Aulong yang juga Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, pada sidang media kemudian, berkata Perak negeri pertama mewajibkan semua ADUN mengisytiharkan harta mereka bersama suami atau isteri serta anak dalam akuan berkanun.

Katanya, setiap ADUN diberi tempoh tiga bulan atau sehingga 23 Oktober depan untuk berbuat demikian dengan cara mengisi borang dan kemudian diserahkan kepada Speaker DUN untuk dihantar kepada SPRM.

"Ini satu komitmen kerajaan negeri untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa DUN ini amat komited dalam memerangi rasuah. Usul ini dibentangkan mengikut tatatertib yang sepatutnya.

“Apabila diluluskan, semua ahli Dewan perlu membuat pengisytiharan dan mereka yang gagal berbuat demikian boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN.

“Usul itu jelas sebagai satu akuan berkanun yang akan dibawa dan diisytiharkan kepada SPRM. Sesiapa yang gagal mengisytihar atau membuat pengisytiharan palsu boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Ditanya mengapa usul itu dibawa oleh ADUN dan bukan kerajaan, Kor Ming berkata, lebih baik usul datang daripada ahli Dewan sendiri kerana ia dicadang bagi mewajibkan semua ADUN, baik di blok kerajaan dan pembangkang membuat pengisytiharan.

Disebabkan usul berkenaan dibawa oleh ahli Dewan dan bukan kerajaan, katanya, EXCO atau wakil kerajaan negeri tidak perlu menggulung dan menjawab kerana usul adalah untuk seluruh ahli Dewan.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) pada sidang media berasingan, mendakwa usul itu dibuat secara terburu-buru untuk mengikut langkah Parlimen dan Dewan Negara yang sudah melaksanakan langkah sama.

Berita Harian X