Selasa, 23 Julai 2019 | 1:56pm
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima buku Malaysia Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 daripada Pengerusi, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Syed Zaid Albar selepas melancarkan Strategi Literrasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023. Turut bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng (dua kiri) dan Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus (kanan) di Sasana Kijang. - Foto Mohd Yusni Ariffin

'Ada pihak cuba gunakan saya capai matlamat tertentu'

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan beliau untuk mencapai matlamat tertentu menerusi penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri.

“Nampak sangat ada pihak cuba menggunakan saya untuk mencapai matlamat mereka. Ini bukan video biasa yang anda tengok sebelum ini, ini sengaja dihasilkan bagi mendapatkan matlamat tertentu... untuk menghalang seseorang daripada maju dalam politik.

“Ia berbeza dengan sekadar merakam. Ini dirancang dan saya tidak akan menjadi ejen untuk menjayakan perancangan itu,” katanya.

Terdahulu, beliau melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) di sini hari ini.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), turut menegaskan tidak akan mempertahankan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang ketika ini dikaitkan dengan video lucah terbabit.

“Saya tidak akan mempertahankan beliau. Saya tegaskan, politik kotor seperti itu tidak akan memerangkap saya sehingga terjebak ke dalamnya,” katanya menjawab soalan media jika akan mempertahankan Mohamed Azmin dalam isu berkenaan.

Perdana Menteri juga tidak mahu diperangkap pihak tertentu sehingga mempengaruhinya membuat keputusan bagi menentukan kedudukan Mohamed Azmin dalam kerajaan.

Beliau turut berharap dalang yang menghasilkan dan menyebarkan video lucah ke laman sosial dihukum.

Berita Harian X