Selasa, 23 Julai 2019 | 8:47am
- Gambar hiasan

Bekalan air pulih cecah 77 peratus

SHAH ALAM: Proses pemulihan gangguan bekalan air di kawasan terjejas di Selangor dan Kuala Lumpur akibat pencemaran diesel di Sungai Selangor, mencapai tahap pemulihan 77 peratus, setakat 6 pagi ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad, berkata kawasan terjejas di Gombak dan Kuala Selangor kini mencapai tahap pemulihan masing-masing 94 dan 90 peratus.

“Kawasan di Kuala Lumpur pula mencapai tahap pemulihan 82 peratus; Klang/Shah Alam (75 peratus); Petaling (70 peratus); Hulu Selangor (47 peratus); dan Kuala Langat (39 peratus).

“Proses pemulihan ini sedang dilaksanakan dan sasaran pemulihan keseluruhan gangguan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah pada jam 9 pagi, Sabtu ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bantuan lori tangki terus digerakkan selain pengaktifan 24 jam Pusat Khidmat Setempat (PKS) bagi menyalurkan bantuan kepada pengguna di kawasan yang terjejas.

Selain itu, katanya, pengguna di kawasan terjejas juga boleh mendapatkan bekalan air melalui pili awam yang turut disediakan berikutan insiden pencemaran berkenaan.

Katanya, pengguna boleh mendapatkan maklumat dan status terkini gangguan bekalan air melalui aplikasi ‘Air Selangor’ pada telefon pintar atau menerusi laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook ‘Air Selangor’ dan Twitter @air_selangor.

Pada Jumaat lalu, sebanyak 1,191,942 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan gangguan air tidak berjadual berikutan insiden pencemaran diesel yang dikesan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang dekat sini.

– BERNAMA

493 dibaca
Berita Harian X