Isnin, 22 Julai 2019 | 9:14pm

Sara Sofea idam catat sejarah tawan puncak

KUALA LUMPUR: Pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (SMSKS), Sara Sofea Muhammad Illaham, 16, bakal mencipta sejarah apabila terpilih pendaki wanita termuda Asia Tenggara dalam ekspedisi menakluk puncak tertinggi di Eropah, Gunung Elbrus di Russia.

Misi ekspedisi dikelola Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJA) dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan bermula 9 Ogos ini dan dijangka mengambil masa sembilan hari, bergantung keadaan cuaca di gunung itu.

KJA dalam satu kenyataan memaklumkan, pelajar Tingkatan Empat berasal dari Subang, Selangor itu akan diiringi lima pendaki sokongan dalam usaha menawan puncak Elbrus berketinggian 5,642 meter.

Ketika ini, pendaki muda itu sudah menjalani latihan penyesuaian cuaca sejuk dan altitud di Gunung Fuji, Jepun serta di Gunung Kinabalu, Kundasang, Ranau di Sabah.

Sara Sofea turut menjalani latihan di Gunung Tahan, Lipis, Pahang; Gunung Datuk (Rembau, Negeri Sembilan) dan Gunung Korbu (Hulu Kinta, Perak) serta latihan rutin mingguan untuk mengekalkan kecergasan fizikal.

Pendakian puncak Gunung Elbrus adalah pengisian Misi Ekspedisi Belia Merdeka 2020 yang juga salah satu gunung yang tersenarai dalam tujuh puncak tertinggi di dunia iaitu 7 Summit.

Pada masa sama, misi untuk mengibarkan Jalur Gemilang bersempena Hari Kemerdekaan ke-62 pada 31 Ogos ini, selain meraikan pencapaian Wawasan 2020 yang bakal disambut tahun depan.

Majlis pelancaran dan penyerahan Jalur Gemilang kepada Sara Sofea disempurnakan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian kementerian, Zainal Abas, di Putrajaya, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden KJA, Muhammad Illaham Ishak; Penasihat kelab, Zainudin Lot dan Pengetua SMSKS, Mohd Shahadan Abdul Rahman.

Pada majlis pelancaran itu, rakan strategik kelab iaitu Aman Palestin dan wakil penaja iaitu syarikat 100Plus, Ultron, Garmin serta Puncak Ventures Sdn Bhd turut tampil menyatakan sokongan terhadap ekspedisi berkenaan.

Sementara itu, Sara Sofea yakin latihan lengkap yang dilaluinya selama lebih dua tahun di bawah tunjuk ajar dua jurulatih mendaki berpengalaman membolehkannya mempelajari teknik berkesan menawan puncak Gunung Elbrus.

“Saya harap keadaan cuaca di Gunung Elbrus menyebelahi saya dan mohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan saya kerana pendakian ini turut membawa bersama nama negara ke persada antarabangsa sebagai belia termuda Asia Tenggara mendaki puncak Elbrus,” katanya.

Berita Harian X