Isnin, 22 Julai 2019 | 6:37pm
KEADAAN air di Sungai Buluh, Pasir Gudang, berwarna hitam seolah-olah dilapisi minyak. - Foto Mohd Azren Jamaludin

16 sungai nazak

JOHOR BAHRU: Tahap pencemaran sekurang-kurangnya 16 sungai yang mengalir melalui daerah ini dan Pasir Gudang, dikesan semakin kritikal dan dikatakan gagal ditangani dengan berkesan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Malah, ada sungai di tahap nazak dengan dipenuhi sampah-sarap dari sekecil-kecil plastik sehinggalah tayar terpakai, malah membentuk pulau kecil menyebabkan air sungai hitam pekat dan mengeluarkan bau busuk yang meloyakan.

Wartawan dan jurugambarsejak tiga hari lalu, melakukan tinjauan lebih dekat dan mendapati, beberapa sungai yang mengalir ke Selat Johor di Pasir Gudang dan Johor Bahru, keadaannya sangat menyedihkan dan tercemar teruk.

Menyusuri Sungai Perembi, Sungai Buluh dan Sungai Tukang Batu yang mengalir di tengah-tengah kawasan industri di situ, adalah yang paling terjejas.

Meskipun Laporan Kualiti Alam Sekitar (EQR) dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dua tahun lalu menyenaraikan Sungai Tukang Batu sebagai sungai Kelas V, iaitu dianggap ‘sungai mati,’ manakala Sungai Perembi, Sungai Masai dan Sungai Buluh dikelaskan tercemar, apa yang didapati ia tidak banyak berubah.

Tinjauan di muara Sungai Perembi yang boleh diakses dari Jalan Pekeliling di sini, mendapati airnya keruh, berwarna coklat pekat selain sampah sarap dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

Airnya juga busuk bercampur bau meloyakan yang dipercayai berpunca dari kilang di sekeliling, menyebabkan sesiapa sahaja pasti tidak dapat berada lama di kawasan terbabit.

Lokasi kedua tinjauan, Sungai Buluh yang hanya 300 meter dari Sungai Perembi. Airnya juga hitam pekat dan mengeluarkan bau teramat busuk, pelbagai sampah sarap, termasuk tayar terpakai dan plastik memenuhi tebing, selain kesan hitam jelas kelihatan dipercayai minyak.

Tinjauan ke muara Sungai Masai yang boleh diakses dari Lebuhraya Pasir Gudang, kira-kira dua kilometer dari Sungai Buluh, mendapati airnya juga hitam dan berbau busuk.

Difahamkan, pembersihan sisa kimia pernah dibuat di sungai ini susulan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Mac lalu.

Semua sungai berkenaan terus berhubung dengan Selat Johor dan terletak berhampiran kawasan Punggol serta Seletar, Singapura.

Tinjauan BH diteruskan ke Sungai Skudai di sebelah barat Selat Johor. Keadaannya cukup menyedihkan, dengan sampah sarap bertali arus dibawa air yang berbau busuk serta meloyakan.

Pensyarah Kanan Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Faizuan Abdullah yang melakukan kajian di Selat Johor bermula 2008 hingga 2016, mengakui isu pencemaran perairan itu gagal ditangani dengan berkesan.

Beliau berkata, ada pelbagai elemen pencemaran berlaku, termasuk dari sisa industri, loji kumbahan, air basuhan domestik selain sampah sarap.

“Semuanya membahayakan hidupan marin di Selat Johor, yang juga muara besar kepada puluhan sungai kecil yang mengalir terus ke situ.

“Namun, pencemaran berterusan tidak ditangani dengan berkesan, hidupan marin terutama kupang terancam dan hampir pupus.

“Analisis sampel air Selat Johor mendapati ia turut dicemari logam berat bertoksik, termasuk plumbum, kromium, cadmium, arsenik dan nikel,” katanya.

PENSYARAH Kanan Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Faizuan Abdullah. - Foto Hairul Anuar Rahim

Faizuan berkata, kandungan toksik logam berat dari sungai terbabit pernah mencapai paras bacaan tertinggi melebihi 1.5 bahagian setiap juta (ppm), berbanding bawah paras bahaya iaitu 1.0, pada 2013, 2014 dan 2015.

Menerusi kajian selama lapan tahun itu, beliau merumuskan dapatan bahawa kepesatan pembangunan di kawasan sungai menghala Selat Johor, menyebabkan kualiti air selat itu semakin merosot setiap tahun.

Beliau yang memfokuskan kajiannya kepada pencemaran yang menyebabkan hidupan marin, terutama kupang hampir pupus, berkata pelbagai elemen pencemaran menjejaskan puluhan sungai yang mengalir ke Selat Johor dan dipercayai meracuni hidupan marin di situ.

“Saya mengkaji kualiti air Sungai Skudai, Sungai Danga, Sungai Melayu, Sungai Perepat dan Sungai Pendas secara khusus.

“Ada pelbagai elemen pencemaran, termasuk dari sisa industri, loji kumbahan, air basuhan domestik selain sampah sarap.

“Semua punca pencemaran ini membahayakan hidupan marin di Selat Johor, yang juga muara besar kepada puluhan sungai kecil yang mengalir terus ke situ, sekali gus menjadi pusat semua sisa pencemaran yang sudah terkumpul di situ sekian lama,” katanya.

BH pernah melaporkan terdapat 1,780 premis industri komersial, 1,532 lagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta 173 loji kumbahan di sepanjang lembangan Sungai Skudai sejauh 46 kilometer (km) itu.

KEADAAN Sungai Danga di Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

Pihak berkuasa digesa pulih sungai

Pihak berkuasa berkaitan didesak mengambil tindakan tegas dan menyeluruh, memulihkan sungai yang tercemar di daerah ini dan Pasir Gudang, serta memastikan ia tidak lagi menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.

Kakitangan awam, Nabiha Mohd Mustar, 29, berkata pihak berkuasa sepatutnya menyedari senarai sungai yang kotor dan sudah lama mengambil tindakan tegas serta menyeluruh.

“Ia membimbangkan kerana sungai tercemar ini mengalir memasuki Selat Johor, yang jadi tempat penduduk kampung mencari rezeki.

“Kami harap tindakan segera diambil untuk pulihkan sungai terbabit,” katanya.

Nelayan berpangkalan di Jeti Taman Tampoi Utama, Yusof Dollah, 60, yang mendakwa hidupan di Sungai Skudai hampir pupus, dengan kali terakhir nelayan menaikkan hasil dari sungai itu adalah 19 tahun lalu, sebelum pencemaran semakin buruk.

SEORANG nelayan menolak sampah yang terapung dalam sungai di sepanjang jajaran sungai Skudai. - Foto Zain Ahmed

“Selepas itu, sampah makin banyak dibuang. Dulu, tidak banyak taman perumahan, apatah lagi kawasan perindustrian di sepanjang Sungai Skudai, sekarang sepanjang sungai dipenuhi taman perumahan dan kilang, dari Senai sehingga Tampoi.

“Selepas hujan, longgokan sampah hanyut membentuk pulau kecil yang membukit sehingga jaring penahan sampah koyak.

“Sedihnya sungai tetap tidak dibersihkan, jadi macam tong sampah terbuka,” katanya yang mengesyaki sisa industri dialirkan secara tersembunyi ke dalam sungai.

Seorang lagi nelayan, Yusof Setam, 60, berkata Sungai Skudai seolah-olah sungai mati kerana tidak lagi berfungsi seperti 30 tahun lalu, malah pihak berwajib juga tidak membersihkan longgokkan sampah di dalamnya.

“Apabila air surut, dasar sungai jadi tempat buang sampah,” katanya sambil menambah, sekitar 1980-an, nelayan Sungai Skudai mampu menaikkan berpuluh kilogram ikan sehari namun kini untuk mendapat lima ekor ikan pun belum pasti.

“Kira-kira 250 nelayan di sini terpaksa keluar sehingga ke perairan Pontian, untuk mencari hasil tangkapan,” katanya.

SAMPAH yang membentuk pulau kecil berhampiran Taman Tampoi Utama Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

Beliau mendakwa, ada nelayan mengalami masalah kesihatan, termasuk sesak nafas, batuk dan selesema berpanjangan walaupun sudah mendapat rawatan, manakala kaki atau kulit yang terkena lumpur sungai akan melepuh dan membengkak seperti terkena racun.

Sementara itu, penduduk Taman Bukit Dahlia, Md Nazim Alias, 32, berkata beliau setiap hari melalui jalan berhampiran Sungai Masai untuk ke tempat kerja di Taman Daya dan keadaan sungai itu yang kotor dengan air yang hitam, tidak pernah berubah sejak hampir sedekad lalu.

Pensyarah Kanan Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Faizuan Abdullah yang melakukan kajian di Selat Johor bermula 2008 hingga 2016, berkata sebelum ini kawasan perairan itu adalah lubuk hidupan marin terutama kupang dan pelbagai jenis ikan.

“Topografi dan geografinya separa tertutup, satu-satunya selat dalam bentuk demikian di negara kita.

“Aliran air perlahan dan plankton yang menjadi makanan hidupan laut juga banyak, menjadikan selat ini khazanah amat berharga, bukan sahaja bagi Johor tetapi juga negara,” katanya.

Namun, katanya, selat itu dicemari toksik logam berat yang merencatkan status Selat Johor, sebagai perairan kaya hasil marin dan sumber rezeki kepada nelayan.

YUSOF Setam (kiri) dan Yusof Dollah. - Foto Zain Ahmed

Berita Harian X