Isnin, 22 Julai 2019 | 12:42pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) merasmikan Majlis Perasmian Neuropsychiatry Masterclass 2019, di Hotel Sheraton PJ. Turut kelihatan Pengerusi Neuropsychiatry Masterclass, Dr Chee Kok Yoon (kiri) serta Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Dr Heric Corray. - Foto Rohanis Shukri

8 pelajar, 1 guru di Pasir Gudang alami sesak nafas

PETALING JAYA: Sembilan kes baharu gejala sesak nafas membabitkan lapan pelajar dan seorang guru di Pasir Gudang, Johor dilaporkan sehingga jam 12 tengah malam tadi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pelajar dan guru dari empat sekolah itu bagaimanapun hanya dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

“Semua tiga lelaki dan enam wanita ini tidak ditahan di wad. Mereka dikatakan terhidu bau busuk dan bau bahan terbakar pada waktu pagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Neuropsychiatry Masterclass 2019 di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, mereka terbabit adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort (tiga pelajar), SK Kopok (dua pelajar), SK Taman Rinting 3 (dua pelajar, satu guru) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2 (satu pelajar).

Beliau berkata, ada 2,500 kilang di Pasir Gudang dengan 250 daripadanya adalah kilang kimia, yang mungkin menjadi punca gejala sesak nafas itu.

“Kalau ini adalah punca tercetusnya (kes kesihatan), kita memahaminya dan pakar psikiatri tahu ini boleh mencetuskan sindrom serangan panik yang berulang,” katanya.


Antara individu yang terkesan dengan kejadian pencemaran Pasir Gudang terdiri daripada pelajar, orang awam, dan penduduk setempat. Kesemua individu yang terlibat ditemui pada sebuah sidang media di Kampung Pasir Putih Pasir Gudang, semalam. - Foto BERNAMA

Sementara itu, beliau berkata, negara kini kekurangan pakar neuropsikiatri sedangkan bilangan pesakit semakin meningkat.

Katanya, negara mempunyai 300 pakar psikiatri dalam sektor awam, namun hanya empat pakar bagi bidang neuropsikiatri.

“Selain itu, ada tiga doktor pelatih dalam bidang ini yang akan mendapat kelayakan dalam masa tiga tahun,” katanya.

Program Neuropsychiatry Masterclass adalah acara tahunan anjuran Unit Neuropsikiatri dan Neuromodulasi (NEURON) dan Badan Kebajikan Psikiatri Hospital Kuala Lumpur sejak 2015.

Ia bertujuan berkongsi ilmu, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam memberikan penilaian serta rawatan pesakit neuropsikiatri berikutan disiplin itu belum mendapat pendedahan yang meluas di Malaysia.

602 dibaca
Berita Harian X