Ahad, 21 Julai 2019 | 4:57pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika hadir dalam program taklimat Anjakan Paradigma: Persepsi Rakyat Kepada Keadilan dan Kerajaan Malaysia pada Program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 hari kedua di Lexis Hibiscus Port Dickson. NSTP/Adzlan Sidek

Kerajaan akan tambah, pertingkatkan kemudahan Taska - TPM

PORT DICKSON: Kerajaan akan menambah dan mempertingkatkan kemudahan Taska terutama di jabatan kerajaan bagi memastikan ibu bapa mudah mendapatkan perkhidmatan penjagaan anak, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata langkah itu sebagai usaha membantu ibu bapa terutama pasangan muda yang menghadapi kesukaran dari segi kewangan untuk menghantar mereka ke pusat penjagaan anak.

“Kementerian akan memperbaiki dan mempertingkatkan kemudahan Taska di negara terutama di jabatan kerajaan.

“Ia bagi membantu ibu bapa atau penjaga khususnya kakitangan kerajaan mendapatkan perkhidmatan penjagaan anak,” katanya kepada BH selepas program Penutupan Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan BH hari ini mengenai pasangan ibu bapa muda sentiasa berada dalam dilema, setiap kali memikirkan tempat asuhan dan tadika yang menawarkan caj berpatutan dengan kemampuan kewangan mereka.

Demi mendapatkan khidmat terbaik untuk anak, pasangan ibu bapa sanggup berkorban termasuk ‘mengikat perut’ serta melakukan kerja sambilan bagi memastikan peruntukkan mencukupi.

Malah, kos penjagaan dan pendidikan awal anak yang tinggi dikesan antara penyumbang beban kewangan pasangan muda berusia antara 20 hingga 40 tahun hingga ramai terjerat masalah hutang, memaksa mereka mendapatkan bantuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

191 dibaca
Berita Harian X