Ahad, 21 Julai 2019 | 4:32pm
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains Teknologi Dan Inovasi, Hee Loy Siaa (tiga dari kanan) melawat Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batang Kali, semalam, berikutan pencemaran Sungai Liam. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Pantau, ambil tindakan premis disyaki cemar sumber air - Dr Xavier

SHAH ALAM: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyita premis disyaki menjadi penyumbang pencemaran sungai dan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak terbabit melakukan kesalahan itu.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata setiap agensi kerajaan terutama PBT, perlu memantau aktiviti dijalankan di sepanjang pesisir sungai dan mencegah aktiviti yang boleh memudaratkan sungai sebagai sumber air mentah utama negara.

“Sekiranya PBT peka dengan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan seliaan mereka, insiden pencemaran sebegini (kes pencemaran bau pada sumber air mentah di Selangor) dapat dielakkan dan ia sudah tentu tidak akan membebankan pengguna.

“PBT disaran menyita mana-mana premis yang disyaki menjadi penyumbang kepada pencemaran sungai dan seterusnya mengambil tindakan lanjut termasuk tindakan undang-undang kepada pihak terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar. - NSTP/Adzlan Sidek

Dr Xavier turut menyarankan kepada agensi seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) serta agensi bawah kerajaan negeri supaya mengambil langkah proaktif pencegahan melalui aktiviti pengauditan secara berterusan serta penguatkuasaan di sepanjang jajaran sungai, sama ada di Selangor atau negeri lain.

Beliau berkata, kes pencemaran bau pada sumber air mentah di Selangor pada petang kelmarin, menyebabkan Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bertindak menutup tiga Loji Rawatan Air (LRA) utama iaitu Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP1, SSP2 dan SSP3 serta LRA Rantau Panjang, bagi mengelakkan air tercemar daripada diproses dan diagihkan kepada pengguna.

Katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan membuka kertas siasatan dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang dikenal pasti, melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Dr Xavier berkata, tugas memulihara sumber air bukan tugas agensi kerajaan tertentu semata-mata sebaliknya semua pihak.

“Sebagaimana air bersih menjadi keperluan asas manusia, ia tanggungjawab setiap warga Malaysia memastikan sungai tidak dicemari dan air bersih digunakan secara sewajarnya.

“Untuk rekod, kerja pemulihan sumber tercemar sedang giat dijalankan. Pengurusan Air Selangor sedang memulihkan perkhidmatan secara berperingkat dan ia dijangka akan dipulihkan sepenuhnya Rabu depan.

Orang awam mengambil bekalan air bersih di Pusat Khidmat Setempat (PKS) Taman Sri Andalas, Klang susulan gangguan bekalan air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor dan LRA Rantau Panjang akibat pencemaran bau. - NSTP/Faiz Anuar

“Serentak insiden ini juga, Air Selangor menangguhkan kerja penambahbaikan di LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) yang pada asalnya dijadual pada 23 hingga 26 Julai,” katanya.

Dr Xavier berkata, pencemaran bau pada sumber air mentah petang Jumaat lalu, menyebabkan bekalan air kepada hampir lima juta pengguna di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur terjejas.

“Agensi berkaitan bawah Air, Tanah dan Sumber Asli iaitu Air Selangor, SPAN, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Indah Water Konsortium (IWK), mengerahkan tenaga bagi mempercepatkan pemulihan, termasuk mengenal pasti punca pencemaran melalui ujian dilaksanakan di Batang Kali, semalam,” katanya.

Berita Harian X