Sabtu, 20 Julai 2019 | 10:22pm
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. - Foto NSTP/Fathil Asri

Peguam sahkan perceraian Sultan Kelantan

KOTA BHARU: Firma Guaman Eversheds Harry Elias LLP mengesahkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bercerai talak tiga dengan bekas ratu cantik Moscow, Rihana Oksana Gorbatenko.

Peguam, Koh Tien Hua, memaklumkan Sultan Muhammad V bercerai talak tiga pada 22 Jun 2019 mengikut undang-undang syariah.

“Kami ialah peguam yang mewakili Sultan Muhammad V. Dimaklumkan baginda bercerai talak tiga dengan Rihana Oksana Gorbatenko pada 22 Jun 2019 mengikut undang-undang Syariah.

“Mahkamah Syariah Kelantan sudah mengeluarkan Surat Perakuan Perceraian pada 1 Julai 2019 mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002.

“Kami mewakili Sultan Muhammad V memohon privasi baginda dihormati,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Kenyataan media daripada firma guaman yang mengesahkan Sultan Muhammad V bercerai talak tiga dengan bekas ratu cantik Moscow, Rihana Oksana Gorbatenko.

Akhbar sebelum ini melaporkan tiada sesiapa boleh digelar sebagai Permaisuri Kelantan, Raja Perempuan Kelantan, Sultanah Kelantan atau Queen of Kelantan tanpa sebarang pengumuman rasmi daripada Istana Kelantan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dalam kenyataan media berkata, Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Faiz Petra adalah Tengku Mahkota Kelantan.

Manakala, bonda Sultan Muhammad V, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid digelar Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis.

Berita Harian X