Sabtu, 20 Julai 2019 | 9:29pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Perhimpunan Agung Khas (EGM) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS). - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Ku Li lebih berpengalaman 'letupkan diri' - Dr Mahathir

SERDANG: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, memiliki banyak pengalaman berhubung ‘meletupkan diri sendiri’ ketika memimpin parti Semangat 46.

“Dia ada banyak pengalaman dengan Semangat 46. Jadi dia sangat arif mengenainya.

“Dia ‘meletup’,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Perhimpunan Agung Khas (EGM) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan meletupkan diri sendiri susulan pertelingkahan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li, berkata perkara itu bergantung sama ada Anwar atau Mohamed Azmin menerima jumlah sokongan yang mencukupi di Parlimen.

PKR dilihat mengalami krisis apabila Anwar dan Mohamed Azmin berbalas kenyataan menerusi media, membabitkan isu video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Dr Mahathir dan Ku Li pernah bertembung merebut jawatan Presiden UMNO, sehingga veteran UMNO itu membawa diri menubuhkan parti Semangat 46, namun parti itu tidak bertahan lama dan Ku Li kembali menyertai UMNO.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan penulis buku ‘Anwar PM ke-8’, Shahbudin Husin yang menyifatkan memaksa beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal ibarat menderanya, Dr Mahathir menegaskan akan melepaskan jawatan itu sebelum penggal pentadbirannya berakhir.

Beliau berkata, sudah ada perjanjian untuk melepaskan jawatannya seperti yang sudah dipersetujui secara bersama dalam Pakatan Harapan, dan akan berpegang pada janji itu.

“Saya sudah berjanji dan saya akan tunaikan janji itu. Apa yang orang lain kata, itu pandangan mereka, bukan saya,” katanya.

2705 dibaca
Berita Harian X