Sabtu, 20 Julai 2019 | 3:18pm
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains Teknologi Dan Inovasi, Hee Loy Sian (tengah) melawat Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batang Kali, hari ini, berikutan pencemaran Sungai Liam. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

SAINS hantar bantuan air kepada Selangor

SEREMBAN: Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) akan menghantar dua lori tangki bagi membantu Air Selangor Sdn Bhd, susulan pencemaran bau yang berlaku di Sungai Selangor, semalam.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail, berkata lori berkapasiti 2,000 gelen setiap satu itu akan dihantar jam 4 petang ini.

Katanya, pencemaran bau yang berlaku di Sungai Selangor semalam menyebabkan tiga loji utama di negeri itu iaitu SSP1, SSP2 dan SSP3 dihenti operasi.

“SAINS akan membantu Air Selangor dalam membuat pengagihan bekalan air ke kawasan terjejas di sekitar Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.

“Bantuan ini membabitkan sebanyak 1,166,842 akaun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Norzita berkata, kerjasama itu selaras memorandum persefahaman (MoU) antara operator di Malaysia.

“Diharap usaha ini dapat membantu Air Selangor dalam menangani isu bekalan air,” katanya.

Semalam dilaporkan beberapa kawasan di Lembah Klang dijangka berdepan gangguan bekalan air dan tekanan air rendah susulan henti tugas serta-merta Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, SSP2 dan SSP3).

Henti tugas serta-merta itu berikutan pencemaran bau di sumber air mentah yang dikesan berlaku.

386 dibaca
Berita Harian X