Jumaat, 19 Julai 2019 | 10:17pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 di Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Henti bertelagah sesama sendiri - Dr Mahathir

PORT DICKSON: Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa semua pimpinan parti komponen Pakatan Harapan (PH) supaya berhenti bertelagah serta berebut kuasa sehingga leka dan kehilangan kuasa.

Perdana Menteri berkata, pimpinan dalam PH perlu komited dan tidak hilang tumpuan dengan perkara sampingan yang tiada nilai kepada pembangunan atau hala tuju negara.

“Kuasa yang diamanahkan oleh rakyat kepada kita adalah untuk memperbaiki apa yang sudah rosak dan memperbetulkan apa yang salah, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

“Kita juga perlu tanya kepada diri kita apakah kita akan terus mendapat mandat rakyat jika mereka melihat kita terus bertelagah kerana berebut kuasa,” katanya ketika berucap pada program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata PH perlu bertekad bekerja seberapa mampu yang boleh untuk memajukan negara serta mempermudahkan hidup rakyat.

“Tugas kita bukan terhenti atau berakhir setiap kali pilihan raya umum diadakan. Apabila kita merencanakan masa depan negara, ia harus berupaya melakar satu hala tuju melangkaui jangka masa yang panjang.

“Kerana itu, apabila kita sedar Wawasan 2020 sudah agak tersasar, kita mula memikirkan mengenai wawasan baharu yang boleh membawa negara dan rakyat kepada satu tahap kehidupan yang lebih baik.

“Ia memerlukan anjakan paradigma dan kita berasa perlu untuk memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama bagi mewujudkan rakyat yang bersatu tanpa prasangka,” katanya.

Justeru, katanya, bagi mencapai kemakmuran bersama dan agenda lain untuk negara, keutuhan gabungan PH menjadi kunci kejayaan.

2115 dibaca
Berita Harian X