Jumaat, 19 Julai 2019 | 9:46pm
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsi rasa hiba menjelang istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Raja Permaisuri Agong kongsi perasaan hiba menjelang istiadat pertabalan

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsi rasa hiba menjelang istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai ini.

Paparan itu dimuat naik menerusi beberapa klip video oleh pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim, yang menyatakan rakaman eksklusif itu hanya di akaun Instagram miliknya, malah agensi berita seperti Astro Awani dan Bernama tidak mempunyai video berkenaan.

Ketika Rizalman bertanya mengenai perasaan baginda yang bakal dimasyhurkan tidak lama lagi, Tuanku Azizah berkongsi perasaan dengan berkata ketiadaan bonda (Almarhum Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah) dan ayahandanya (Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail) serta Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Shah, membuatkan baginda rasa hiba menjelang istiadat pertabalan.

“Nampak tak I tengah menangis sedih ini, sebab ayahanda saya tiada, bonda saya tiada, Tuanku tiada. Jadi sedihlah.

“Tetapi yang sedih sekali agaknya sebak dada, sebabnya saya dan Tuanku akan duduk atas singgahsana yang ayahanda kita berdua duduk atau bonda kita berdua menggunakan takhta semasa mereka jadi Agong. Tuanku dan saya akan menggunakan singgahsana itu juga.

“Hiba sungguh kerana emak bapa kita tiada. Doakan saya dan Tuaku selamat, panjang umur sihat walafiat, dapat menjalankan kerja dan tugas kami sebagai Yang di-Pertuan Agong sebaiknya dan berkhidmat kepada rakyat,” katanya sambil menahan sebak dan diiringi tangisan orang yang berada di butik Rizalman.

Sebelum ini, Istana Negara menyatakan komitmen dan berazam menjadikan istiadat kali ini suatu acara mengabadikan detik-detik indah yang akan dikenang Seri Paduka berdua sampai bila-bila.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mempunyai pengalaman berangkat menghadiri Istiadat Pertabalan kedua-dua ayahanda dan ayahanda mentua iaitu Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh dan Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Antara permintaan Seri Paduka ialah supaya pihak Istana Negara mendapatkan semula takhta singgahsana tempat bersemayam kedua-dua Paduka ayahanda ketika ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh dan kelapan.

Berita Harian X