Jumaat, 19 Julai 2019 | 8:45pm

Pasukan khas siasat pendedahan Ketua Audit

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan Pasukan Petugas Khas (Taskforce) bagi meneliti pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), seterusnya mengambil tindakan jika ada unsur rasuah dan penyelewengan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata pihaknya sudah mendapat laporan penuh serta diberikan taklimat oleh Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dan Jabatan Audit Negara berhubung LKAN 2018 Siri 1, kelmarin.

“Dari situ, kami fokus kepada beberapa perkara. Salah satunya membabitkan isu prosedur dan tataterbit yang mungkin tidak cukup serius untuk SPRM menyiasat, tetapi ada syor tertentu dikemukakan kepada jabatan berkenaan.

“Pada masa sama, mereka (Jabatan Audit Negara) mengenal pasti beberapa isu yang SPRM boleh masuk (siasat).

“(Sehubungan itu) Kita menubuhkan Pasukan Petugas untuk melihat kepada LKAN bagi tujuan mengambil tindakan, jadi sudah tentu kita akan menyiasat,” katanya dalam wawancara bersama akhbar dan stesen televisyen kumpulan Media Prima di pejabatnya di sini, hari ini.

Latheefa berkata, antara perkara dalam penelitian SPRM ialah pendedahan mengenai salah tadbir dana berjumlah jutaan ringgit disalurkan kepada Unit Khas bagi Program Pembangunan Sosioekonomi (SEDIC) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Satu lagi ialah isu tuntutan palsu di Jabatan Pendidikan Terengganu,” katanya sambil mengesahkan pihaknya juga meneliti pendedahan LKAN berhubung manipulasi dan penipuan dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, apa sahaja pendedahan menerusi LKAN yang membabitkan kehilangan dana dalam jumlah besar, kekurangan dokumentasi, tuntutan palsu dan rasuah akan disiasat.

“Beri kami ruang untuk menyiasat,” katanya.

LKAN Siri 1 2018 mendedahkan salah tadbir dana berjumlah jutaan ringgit disalurkan kepada SEDIC untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India dari 2014 hingga 2018.

Ketika ditanya mengenai isu Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang dikatakan pengurusan penyelenggaraannya didapati kurang cekap apabila sebanyak 12,261 rumah itu tidak selamat diduduki, sama ada akan turut disiasat SPRM, Latheefa mengakui, ia akan dilaksanakan dalam siasatan seterusnya.

1150 dibaca
KETUA Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya. - Foto Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X