Jumaat, 19 Julai 2019 | 11:44am
Amirudin bercakap kepada media selepas Majlis Apresiasi Anak Istimewa Selangor (Bantuan Khas AnIS) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - NSTP/Saddam Yusoff

Dalang video lucah perlu dikenakan tindakan - MB Selangor

SHAH ALAM: Pihak yang mendalangi penyebaran video lucah bertujuan mengaibkan dan menjatuhkan reputasi individu tertentu perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata tiada siapa boleh terlepas dan mengatasi peruntukan undang-undang di negara ini.

“Siapa yang buat kesilapan perlu diambil tindakan, tetapi keadilan perlu diberikan kepada beliau (penyebar video lucah) untuk bela diri.

“Bagi saya yang penting ialah kita jangan kejam dengan orang, jangan khianati orang dan jangan naya (menganiaya) orang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Anak Istimewa Selangor (AnIS) di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.


Amirudin (tengah) dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM500,000 kepada Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS), Fahda Nur Ahmad Kamar (dua dari kiri) pada Majlis Apresiasi Anak Istimewa Selangor (Bantuan Khas AnIS) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - NSTP/Saddam Yusoff

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bahawa hasil siasatan polis mendedahkan wujud pakatan jahat yang didalangi seorang pemimpin sebuah parti politik.

Polis turut mendedahkan video lucah itu dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit.

Mengulas lanjut, Amirudin menzahirkan kesyukuran dengan keputusan analisis pakar ke atas video lucah yang sebelum ini dikaitkan dengan seorang menteri, adalah negatif.

“Alhamdulillah segalanya sudah terlerai dan jangan sambung lagi cerita macam ini, dah 20 tahun mainkan cerita (video lucah) macam ni, orang dah tolak,” katanya.

Semalam Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menzahirkan kesyukuran dipercayai merujuk kepada hasil laporan analisis pakar ke atas video lucah, yang sebelum ini dikaitkan dengan seorang menteri.

Terdahulu, Abdul Hamid dilaporkan berkata, analisis pakar terhadap video lucah yang sebelum ini dikaitkan dengan seorang menteri, tidak dapat mengaitkan pelaku dengan ahli politik berkenaan.

Video lucah itu yang didakwa membabitkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong dan dikaitkan dengan menteri berkenaan tersebar di media sosial.

Sehari selepas video itu tersebar bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku sebagai salah seorang pelaku.

1786 dibaca
Berita Harian X