Khamis, 18 Julai 2019 | 7:01pm
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (kiri) menerima kunjungan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, yang melakukan lawatan kerja ke Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aswadi Alias

Selat Melaka selamat - Panglima Angkatan Tentera

KUALA LUMPUR: Tiada ancaman keselamatan di Selat Melaka, kata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Beliau berkata, kawasan perairan selat itu kekal selamat sebagai laluan kapal dagang antarabangsa.

“Mana-mana negara boleh meningkatkan tahap keselamatan mereka, bagaimanapun setahu saya tiada petunjuk kawasan perairan kita tidak selamat.

“Itu kenyataan saya, kawasan Selat Melaka kita selamat,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, yang melakukan lawatan kerja ke Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany.

Pegawai mengiringi Abdul Hamid pula ialah Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad.

Baru-baru ini, media tempatan dan antarabangsa melaporkan China meningkatkan tahap keselamatan untuk kapal-kapalnya menuju Selat Melaka.

Kementerian Pengangkutannya, menerusi satu notis yang dimuat naik di laman web berkaitan kementerian 2 Julai lalu, menasihatkan kapal China mengambil langkah keselamatan yang tinggi dan meningkatkan amaran keselamatan ke tahap tiga.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata pihaknya sedia membenarkan pegawai dan anggota polis mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital tentera sekiranya mempunyai dana mencukupi.

Ia antara perkara dibincangkan bersama Abdul Hamid ketika perjumpaan mereka.

“Isu ini perlu diberi kepentingan. Ia masih di peringkat perbincangan awal dan perlu dijalankan secara teliti.

“Sekiranya ada peruntukan khas kepada polis selain isu lain yang berbangkit, semestinya perkhidmatan ini dapat disediakan,” katanya.

Selain itu, Zulkifli berkata, kedua-dua agensi keselamatan itu akan memperkemaskan isu keselamatan di sempadan.

“Kami berbincang mengenai peranan polis dan agensi lain, ini kerana ATM tiada kuasa pendakwaan sekarang dan adakah kami akan diberi kuasa perundangan atau serah kepada polis.

“Ini termasuk di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” katanya.

Berita Harian X