Khamis, 18 Julai 2019 | 6:47pm
DATUK Liew Vui Keong dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Istilah kurang sopan riuhkan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Penggunaan perkataan kesat oleh seorang Ahli Parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang, sekali lagi meriuhkan sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Ia berlaku sebaik sesi pertanyaan lisan berakhir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, selesai membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019 bagi bacaan kali pertama.

Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) kemudian bangun dengan izin Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, untuk mengemukakan peraturan mesyuarat berkaitan soalan lisan dalam senarai soal jawab pada 10 Julai lalu.

Shahidan berkata, soalan nombor 104 dikemukakan Pang Hok Liong (PH- Labis) berhubung jumlah elaun dan peruntukan diraja tahunan untuk Yang di-Pertuan Agong dan meminta pecahan terperinci serta kos penyelenggaraan tahunan Istana Negara seakan menghina Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja.

Tindakan Shahidan itu menyebabkan Hok Liong bangun dan mengeluarkan perkataan menghina Ahli Parlimen Arau itu berkaitan kes pencabulan remaja.

Shahidan bingkas bangun lalu menyebut: “Hei bangsat Labis!”

Dewan Rakyat terus riuh apabila penyokong kerajaan dan blok pembangkang saling meminta Shahidan dan Hok Liong menarik balik perkataan digunakan.

Untuk meredakan keadaan, Mohamad Ariff mengarahkan kedua-dua Ahli Parlimen itu menarik balik perkataan digunakan kerana melanggar peraturan Dewan, selain persidangan turut dihadiri pelajar di galeri awam.

Kedua-duanya kemudian menarik balik perkataan digunakan.

471 dibaca
Berita Harian X