Khamis, 18 Julai 2019 | 6:19pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Liew Vui Keong ketika di Dewan Rakyat. - Foto ihsan Parlimen Malaysia

RUU IPCMC bolehkan Ketua Polis Negara disiasat

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara boleh disiasat Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) jika ada aduan salah laku dilaporkan.

Perkara itu antara peruntukan dalam Rang Undang-Undang (RUU) IPCMC yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Liew Vui Keong, untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Penubuhan IPCMC bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ke arah meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, ia turut menggalakkan integriti dalam kalangan anggota polis, melindungi kepentingan orang awam melalui pencegahan dan menangani salah laku anggota polis.

RUU itu mencadangkan, jika ada aduan salah laku terhadap Ketua Polis Negara dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) perlu menubuhkan Lembaga Tatatertib Khas di bawah suruhanjaya itu untuk mendengar aduan serta melakukan prosiding.

Fasal 31 RUU berkenaan turut menyatakan, Lembaga Tatatertib Khas boleh mendengar aduan dan melakukan prosiding mengikut peraturan Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan.

RUU itu juga menyatakan orang ramai boleh membuat aduan berhubung salah laku anggota polis yang mana ia perlu dibuat secara bertulis dan ditujukan kepada Jawatankuasa Aduan suruhanjaya berkenaan.

“Jika aduan terhadap pasukan polis atau anggota dibuat secara terus kepada ketua jabatan, maka ketua jabatan perlu dengan serta-merta merujuk aduan salah laku kepada Jawatankuasa Aduan IPCMC.

“Jawatankuasa Aduan mesti menimbang teliti aduan diterima dan memutuskan pengelasan aduan,” kata RUU itu.

Jika aduan membabitkan kesalahan rasuah dan berkaitan, ia perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala aduan kesalahan jenayah perlu dirujuk kepada pihak berkuasa berkenaan.

Orang ramai juga boleh membuat aduan kepada IPCMC jika mendapati tindakan diambil dan tidak diambil anggota polis yang dianggap tidak munasabah, tidak adil, menindas atau ada unsur diskriminasi.

Aduan juga boleh dibuat jika anggota polis didapati melakukan kesalahan jenayah, namun salah laku polis mengikut Seksyen 96 dan 97 Akta Polis 1967 tidak termasuk dalam aduan yang boleh dirujuk ke IPCMC.

RUU IPCMC menetapkan anggota suruhanjaya dilantik melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan dianggotai 10 ahli termasuk Pengerusi dan seorang Timbalan Pengerusi.

Tempoh jawatan setiap anggota suruhanjaya ditetapkan tidak melebihi tiga tahun dan tidak boleh memegang jawatan anggota suruhanjaya melebihi dua penggal berturut-turut.

RUU itu menyatakan, IPCMC boleh membuat siasatan sendiri jika mendapati sesuatu perkara itu mempunyai kepentingan awam tanpa perlu menunggu aduan daripada mana-mana pihak.

721 dibaca
Berita Harian X