Khamis, 18 Julai 2019 | 6:01pm
Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENAG), Datuk Zainal Abidin Borhan. - Foto Aizuddin Saad

Perkenal semula PPSMI hanya ulangi kegagalan - GAPENA

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) meminta Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak diperkenalkan kembali kerana ia disifatkan

hanya akan mengulangi kegagalan.

Ketua Satunya, Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata pihaknya menuntut PPSMI tidak diperkenalkan kembali kerana kegagalannya sudah terbukti dan ‘mengorbankan’ 3 juta murid, selain menelan belanja berbilion ringgit.

“Satu dekad pelaksanaan PPSMI ‘mengorbankan’ satu generasi anak Malaysia yang sebahagian besarnya dari luar bandar dan dalam kalangan berpendapatan rendah atau kelompok B40.

“Selama satu dekad PPSMI menggagalkan pembinaan negara bangsa Malaysia yang bersatu-padu berbanding kejayaan Dasar Pendidikan Kebangsaan 1970,” katanya dalam kenyataan medianya kepada BH di sini, hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya di Parlimen menyebut kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan semula PPSMI menerusi sistem baharu yang akan membabitkan penggunaan teknologi maklumat (IT).

Zainal Abidin berkata, kegagalan PPMSI sudah dibuktikan secara empirikal menerusi penyelidikan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) pada 2008 dengan kerjasama tiga universiti awam, iaitu Universiti Malaya (UM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Beliau berkata, malah penyelidikan yang sama juga dibuat Jemaah Nazir Kementerian Pendidikan.

“Kedua-dua penyelidikan itu membuktikan PPSMI menumpulkan minat pelajar sekolah terhadap mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

“Malah ia membantutkan tahap kecerdasan murid dan merugikan generasi yang bakal ke gerbang Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Penyelidikan sama, tegas Zainal Abidin, membuktikan wujudnya kelemahan dan ketidaktrampilan guru yang teŕbabit dengan PPSMI.

“Guru lemah berbahasa Inggeris dan gagal berkomunikasi untuk menyampaikan ilmu Sains dan Matematik.

“Kelemahan itu menggagalkan daya pemahaman, cerapan dan pentaakulan serta pengkonsepsian murid terhadap ilmu Sains dan Matematik, sekali gus menjejaskan pemikiran dan pandangan dunia saintifik mereka,” katanya.

Zainal Abidin berkata, berdasarkan penyelidikan itu, Kementerian Pendidikan dan menterinya ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memansuhkan PPSMI pada 2009 dan secara sepenuhnya pada 2012.

Beliau berkata, ia diganti dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Dalam pelancaran MBMMBI, Muhyidin menyatakan 3 juta murid sekolah menjadi mangsa kegagalan PPSMI,” katanya.

PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 ditamatkan secara ‘soft landing’ bermula 2009 hingga 2012.

159 dibaca
Berita Harian X