Khamis, 18 Julai 2019 | 5:45pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Sinaran pemancar telekomunikasi, radio terkawal

KUALA LUMPUR: Kajian mendapati kadar pancaran Medan Elektromagnet Frekuensi Radio (RF-EMF) dari menara telekomunikasi di negara ini adalah di bawah had disyorkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata kadar itu selari garis panduan ditetapkan International Commission On Non-Ionizing Radiation Protection (ICNIRP) dan standard mandatori untuk pancaran medan elektromagnet daripada infrastruktur komunikasi radio.

Katanya, teknologi komunikasi mudah alih menggunakan frekuensi radio dan tergolong dalam kategori sinaran bukan mengion (NIR) tidak mempunyai tenaga mencukupi untuk memecahkan atau mengganggu struktur molekul dan sel tubuh manusia.

“Pendedahan berterusan terhadap NIR hanya boleh menyebabkan kesan pemanasan dan tidak cukup untuk mengakibatkan kerosakan jangka panjang pada tisu badan manusia.

“Frekuensi radio juga mempunyai tenaga 1,000 kali lebih rendah berbanding tenaga matahari, walaupun kedua-duanya dalam kategori NIR.

“Sinaran X mempunyai tenaga 1,000 kali ganda lebih tinggi tenaga sinaran dibandingkan sinaran matahari.

“Sinaran X yang dikategorikan sinaran mengion mempunyai tenaga mencukupi untuk mengakibatkan kerosakan jangka panjang pada tisu badan manusia,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya) mengenai kebarangkalian wujud ancaman terhadap kesihatan atau keselamatan dari menara telekomunikasi dan radiasi pemancar jika ia berdekatan kawasan perumahan.

Gobind berkata, ujian tahap pancaran frekuensi radio (RF) kendalian Agensi Nuklear Malaysia (ANM) di seluruh negara mendapati radiasi di kawasan sekitar pemancar adalah amat rendah dan berada pada tahap selamat iaitu kurang daripada dua peratus.

“Kadar pancaran RF ini mematuhi Standard Mandatori bagi EMF dari Struktur Komunikasi Radio yang ditetapkan dan tidak berupaya membawa risiko kesihatan kepada masyarakat sekitar, termasuk golongan warga tua atau kanak-kanak.

“Bagaimanapun, kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus membuat pemantauan terhadap tahap radiasi dihasilkan pemancar komunikasi di Malaysia,” katanya.

Berita Harian X