Khamis, 18 Julai 2019 | 4:56pm
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Wan Ji perlu lapor polis teraniaya - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin, diminta membuat laporan polis berhubung dakwaan kononnya dirinya dipukul ketika ditahan di Penjara Kajang, baru-baru.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Wan Ji perlu berbuat demikian jika beliau berasakan terdapat kes tertentu atau memerlukan pembelaan ekoran dakwaannya dipukul seorang warden penjara sebelum ini.

Beliau berkata, menerusi laporan itu, pihak polis boleh menjalankan penyiasatan sama ada dakwaan itu berasas atau sebaliknya.

“Saya tidak pasti jika dia (Wan Ji) sudah membuat laporan polis atau tidak. Saya ada baca dan menonton video yang dia kata tidak mahu lapor, mengatakan kesian kepada orang itu.

“Tetapi jika dia fikir ada kes tertentu yang dia hadapi dan dia mahu pembelaan, elok buat laporan polis. Jika sudah ada laporan, polis akan siasat sama ada kenyataan itu berasas atau tidak, menyalahi undang-undang atau tidak. Jika ya, ada tindakan boleh diambil pihak polis,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya sama ada Wan Ji sudah membuat laporan polis berhubung dakwaan dirinya dipukul seorang warden penjara ketika ditahan di Penjara Kajang.

Menceritakan pengalamannya sehari selepas dibebaskan pada 12 Julai lalu, Wan Ji berkata, warden berkenaan memintanya menanggalkan cermin mata sebelum menumbuknya sebanyak tiga kali selepas dia memperkenalkan diri.

Ekoran itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim semalam menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera menyiasat dakwaan Wan Ji itu.

333 dibaca
Berita Harian X