Khamis, 18 Julai 2019 | 4:38pm
PENGERUSI SPR, Azhar Azizan Harun berucap pada majlis Forum ‘Make A Change, Let’ s Do It Together’ anjuran SPR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Undi 18 tahun: SPR perlukan masa buat persediaan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan masa untuk melaksanakan pendaftaran pengundi berusia 18 tahun secara automatik bagi membolehkan pelbagai persediaan dilakukan secara holistik.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata pihaknya perlu membuat persediaan dari pelbagai aspek termasuk mewujudkan sistem bagi membolehkan pendaftaran automatik.

Beliau berkata, untuk sistem terbabit diwujudkan, SPR memerlukan data dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penjara dan Kementerian Kesihatan yang kemudiannya diselaraskan secara bersama.

“Ia juga akan memakan masa kerana untuk mewujudkan sistem, pelbagai proses perlu dibuat seperti buka tender, sebut harga sehinggalah proses perolehan.

“Ini juga akan membabitkan isu alamat, apabila pengundi tidak tukar alamat maka akan ada pengundi di alamat yang tidak wujud seperti (contoh) Flat Pekeliling dan Sulaiman Court yang kini adalah sebuah pusat beli belah.

“Apabila perkara ini berlaku, daftar pemilih akan ‘kotor’ dan kemudian akan ada pihak kata, wujudnya pengundi hantu.

“Di sini perlu lihat kenapa ia tidak boleh dilaksanakan terus selepas Parlimen meluluskannya kerana selain sistem, pelbagai perkara dan penyusunan proses SPR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis Forum ‘Make A Change, Let’ s Do It Together’ anjuran SPR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Azhar berkata, sepanjang proses ini, SPR akan memaklumkan kepada kerajaan dan pembangkang dari semasa ke semasa bagi membolehkan semua pihak berpuas hati.

“Apabila semua pihak berpuas hati 100 peratus, barulah mereka akan tentukan tarikh kuat kuasa sebelum ia diwartakan dan ketika itulah, mereka yang berusia 18 tahun akan didaftarkan secara automatik.

“Buat masa sekarang, pendaftaran masih meletakkan syarat 21 tahun ke atas dan perlu didaftar secara konvensional bagaimanapun, bagi mereka yang sudah layak mendaftar dan ingin mendaftar, boleh mendaftar menggunakan aplikasi MySPR Daftar.

“Aplikasi itu yang dibangunkan bagi memudahkan urusan pendaftaran pemilih dan mempermudahkan permohonan tukar bahagian pilihan raya kepada pemilih yang sudah menukar alamat bermastautin mereka dalam kad pengenalan masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, pihaknya juga melaksanakan Pelan Reformasi Pilihan Raya dengan menubuhkan enam Jawatankuasa Dasar yang diketuai oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli SPR.

“Jawatankuasa ini ialah Jawatankuasa Persempadanan Pilihan Raya, Jawatankuasa Pendaftaran Pemilih, Jawatankuasa Pengundi Tidak Hadir, Jawatankuasa Kesalahan Pilihan Raya, Jawatankuasa Proses Pilihan Raya dan Jawatankuasa SPR.

“Penubuhan Jawatankuasa Dasar Penambahbaikan Operasi SPR selaras dengan reformasi pilihan raya di mana Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) dan SPR komited untuk menjalinkan kerjasama yang erat dalam mengkaji dan meneliti aspek pembaharuan, penambahbaikan yang membabitkan urusan operasi, struktur di antara ERC dan SPR,” katanya.

94 dibaca
Berita Harian X