Khamis, 18 Julai 2019 | 4:36pm
KETUA Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar (tengah) pada sidang media di Pejabat JAS negeri di Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

3 kilang kimia catat bacaan Methyl Mercaptan tinggi - JAS

JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini mendedahkan tiga kilang kimia di Pasir Gudang dikenal pasti mempunyai bacaan gas Methyl Mercaptan yang tinggi.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar, berkata tiga kilang berkenaan dikenal pasti menerusi proses penyisihan 257 kilang kimia di Pasir Gudang, yang dilakukan pihaknya sejak 20 Jun hingga hari ini.

Katanya, bacaan tertinggi gas Methyl Mercaptan direkodkan daripada tiga kilang terbabit adalah 130 bahagian setiap juta (ppm), berbanding paras normal iaitu 40 ppm.

“Tiga kilang berkenaan terletak dalam radius tiga kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 dan semua kilang terbabit sudah dikenakan perintah tahan operasi kelengkapan (henti operasi sementara).

“Hanya gas Methyl Mercaptan mempunyai ciri boleh menyumbang kepada gejala sesak nafas dan muntah seperti dialami pelajar di Pasir Gudang,” katanya pada sidang media di Pejabat JAS negeri di sini, hari ini.

Norlin bagaimanapun berkata, Methyl Mercaptan dikategorikan sebagai gas tidak berkarsinogenik (tidak merbahaya dan tidak menyebabkan kanser).

“Sebanyak 138 lokasi dipantau bacaan gas sekitar Pasir Gudang termasuk sekolah, tempat awam dan kawasan industri selain mencerap sebanyak 3,275 bacaan menggunakan peralatan Gasmet.

“Berdasarkan pencerapan itu, hanya tiga gas dikesan iaitu Methyl Mercaptan, Acrolein dan Acrylonitrile, namun bacaan dua gas lain itu terlalu rendah untuk mencetuskan simptom sesak nafas dan muntah,” katanya.

Mengulas lanjut, Norlin menegaskan JAS sedang giat menjalankan kajian analisis beban dan daya tampung pencemaran bagi menilai dan menganalisis zon penampan serta kualiti udara, air sungai dan air bawah tanah termasuk potensi tanah tercemar yang boleh menyebabkan pencemaran udara di Pasir Gudang.

“Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik bagi kajian ini diadakan pada Isnin lalu dan dipengerusikan sendiri oleh saya selain dianggotai pakar udara, air bawah tanah, tanah tercemar, zon penampan dan geospatial serta pakar pemodelan dalam aspek air, udara dan air tanah.

“Laporan awal kajian ini dijangka akan dikeluarkan dalam tempoh enam minggu dari tarikh pelantikan pakar itu oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC),” katanya.

Berita Harian X