Khamis, 18 Julai 2019 | 1:58pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta Ketua Setiausaha Negara, Dr Ismail Bakar (kiri) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah ke-9 dan Pelancaran Aplikasi Respon Rakyat di Bangunan Perdana Putra. - Foto Luqman Hakim Zubir

Banyak benda lain perlu saya fikir - PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mahu mencampuri masalah dalaman membabitkan PKR ketika ini.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau perlu memikirkan mengenai banyak lagi perkara daripada mencampuri urusan dalaman PKR.

“Saya tak perlu fikir, banyak benda lain saya perlu fikir,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Kali Ke-9 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ketika ditanya adalah pertelingkahan dalaman membabitkan kepemimpinan PKR ketika ini akan menjadi liabiliti kepada PH, Perdana Menteri berkata, terpulang kepada wartawan untuk membuat penilaian.

Ditanya adakah isu berkenaan akan melambatkan proses peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri antara beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata: “Kita akan meneliti masalah itu bila tiba masanya.”

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memintanya bercuti susulan kes penyebaran video lucah, agar “bermuhasabah diri”.

“Read my lips, tell him to look at the man in the mirror” (Dengar baik-baik, beritahu dia supaya cermin diri),” kata Mohamed Azmin kepada pemberita di lobi Parlimen.

Terdahulu, Anwar meminta Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR bercuti jika video lucah yang dikaitkan dengannya disahkan asli oleh pihak berkuasa.

Namun jika sebaliknya, Anwar berkata, desakan bercuti terhadap Mohamed Azmin adalah tidak berasas dan tidak perlu dilayan.

Hari ini, seramai 28 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Ahli Parlimen PKR mendesak Anwar berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan perpaduan parti dalam isu video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Mereka juga tidak setuju dengan kenyataan Anwar semalam yang menyatakan Mohamed Azmin Ali, perlu melepaskan jawatan kerajaan sekiranya video berkenaan tulen.

Dalam satu kenyataan bersama pagi ini, mereka juga menegaskan kenyataan Anwar itu tidak berasas kerana hanya berdasarkan spekulasi.

Berita Harian X