Khamis, 18 Julai 2019 | 1:07pm
AHLI Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada sidang media sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Sidang Parlimen Keempat Belas di Parlimen. - Foto BERNAMA

Saya ada lihat cermin pagi ini - Anwar

KUALA LUMPUR: “Saya ada lihat cermin pagi ini.”

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memilih untuk berseloroh ketika mengulas kenyataan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang meminta Ahli Parlimen Port Dickson itu bermuhasabah serta mencermin diri.

Anwar berkata, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkemungkinan tidak membaca kenyataannya secara menyeluruh.

“Ketika media bertanya soalan itu, mulanya saya menyebut budaya politik kotor mesti ditolak.

“Kemudian ditanya apa kata jika video itu sahih, maka saya jawab harus letak jawatan seperti mana disebut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas itu.

“Rakan-rakan mengatakan tidak perlu menjawab soalan itu, sebaliknya mengatakan tunggu laporan atau siasatan polis,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Mohamed Azmin meminta Anwar bermuhasabah dan mencermin diri sebagai maklum balas terhadap kenyataan Presiden PKR yang memintanya bercuti jika video lucah yang dikaitkan dengannya disahkan asli oleh pihak berkuasa.

Anwar berkata, adalah tidak adil untuk Mohamed Azmin diajukan soalan berhubung kenyataan itu.

“Saya rasa tidak adil kerana mungkin beliau tidak membaca teks penuh dan wartawan hanya ajukan soalan manakala beliau memberi respon.

“Anda tidak perlu mengeksploitasi kenyataan (Mohamed Azmin). Saya tidak kecewa tapi saya rasa beliau perlu baca keseluruhan teks dan konteks,” katanya.

Mengulas kenyataan bersama 27 Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kepemimpinan PKR hari ini supaya Anwar tidak mengeluarkan kenyataan yang memecah-belah parti, beliau berkata:

“Saya dimaklumkan oleh mereka yang menandatangani kenyataan itu bahawa ia bertujuan menyatukan parti dan bukan mempertikai kewibawaan saya sebagai Presiden.”

3472 dibaca
Berita Harian X