Khamis, 18 Julai 2019 | 12:54am
TIMBALAN Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom.

Pemilih Automatik: SPR sasar sistem dapat diaplikasi menjelang PRU15

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan sistem pendaftaran pemilih secara automatik dapat diaplikasikan dalam tempoh dua tahun lagi, sekali gus boleh digunakan buat pertama kalinya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, berkata pelaksanaan sistem pendaftaran automatik itu adalah cabaran yang cukup besar, namun pihak suruhanjaya yakin dengan keupayaannya menggalas tanggungjawab berkenaan sebaiknya.

“Untuk sistem pendaftaran secara automatik itu memang mengambil sedikit masa. Bagaimanapun SPR yakin ia (sistem itu) boleh mula diaplikasi menjelang PRU15 akan datang. Untuk sistem itu sedia digunakan, dijangka dalam tempoh satu setengah tahun ke dua tahun.

“Banyak perlu dibuat SPR. Kita juga perlu bersedia menghadapi berjuta tambahan pengundi, misalnya menentukan pusat dan saluran mengundi mencukupi, selain membeli kotak undi yang banyak serta melatih pegawai SPR lebih ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum menyertai Program Ruang Bicara - Rang Undang Undang (RUU) Umur Mengundi 18 terbitan Bernama News Channel, di sini malam tadi.

Selain menurunkan umur warganegara layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan Perlembangaan Persekutuan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu diluluskan di Dewan Rakyat semalam selepas memperoleh lebih dua pertiga persetujuan dengan sokongan 211 daripada 222 ahli Dewan Rakyat.

Azmi ketika mengulas lanjut, berkata fokus SPR ketika ini dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ialah memastikan sistem itu secara teknikalnya telus, selamat dan cekap, agar segala proses pengundian berjalan lancar apabila tiba masanya.

Selain itu, Azmi berkata SPR mengajak seluruh rakyat Malaysia yang sudah layak mengundi agar mendaftar melalui sistem pendaftaran pengundi secara dalam talian yang akan dilancarkan esok.

“Sistem mendaftar secara `online’ ini mereka boleh buat di hujung jari sahaja, tidak perlu buat manual di Pejabat Pos atau di mana-mana kaunter. Jadi, tiada masalah lagi untuk mereka yang layak mengundi, untuk tidak daftar sebagai pengundi.

“SPR berharap sistem pendaftaran ‘online’ ini akan dimanfaatkan, serta menggalakkan rakyat untuk beramai-ramai mendaftar. Terdapat lebih empat juta (rakyat) lagi yang belum mendaftar setakat ini,” katanya.

Mengikut rekod, jumlah pengundi pada PRU15 dijangka menjangkau lebih 22 juta orang, berbanding 14.9 juta pengundi pada PRU14 tahun lepas. – BERNAMA

Berita Harian X