Rabu, 17 Julai 2019 | 8:37pm
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media selepas usul laporan kajian semula persempadanan bagi persekutuan dan negeri Sabah diluluskan di Bangunan Parlimen. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Pertambahan kerusi DUN Sabah rapatkan jurang pembangunan

KUALA LUMPUR: Pertambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dapat merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Rata-rata Ahli Parlimen yang membahaskan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri Sabah) 2019 bersama laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai Kajian Semula Persempadanan itu, yakin pertambahan kerusi itu memberi limpahan kemakmuran kepada kawasan terbabit.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) yakin pertambahan 13 kerusi itu akan mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, rakyat yang terpinggir daripada arus kepesatan pembangunan kelak boleh menikmatinya kerana mempunyai wakil yang boleh menyuarakan kehendak mereka.

Katanya, pertambahan 13 kerusi itu wajar kerana keluasan Sabah yang ada kawasan Parlimen yang jauh lebih besar, berbanding saiz sebuah negeri di Semenanjung.

“Kinabatangan jauh lebih besar berbanding Pahang. Begitu juga Lahad Datu yang lebih besar daripada Johor,” katanya.

Beliau menegaskan, Sabah hanya mempunyai 60 kawasan Parlimen walaupun penduduknya 3.9 juta melebihi jumlah penduduk Sarawak 2.7 juta.

Bagaimanapun, katanya, Sarawak mempunyai 62 kerusi Parlimen dan jauh lebih besar dari Sabah.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, persempadanan semula itu dijangka dapat mengurangkan beban wakil rakyat sedia ada dan lebih ramai rakyat mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dengan pertambahan 13 kerusi DUN, Sabah dapat dibangunkan dan jurang kepesatan dikecilkan serta berlaku kesaksamaan dan keseimbangan pembangunan,” katanya.

Datuk Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) berkata, persempadanan semula kawasan DUN dan Parlimen perlu mempertimbangkan latar belakang pengundi serta tidak tertumpu kepada satu kaum saja.

Jika diteruskan, katanya, itu akan menggalakkan politik perkauman dan sentimen tidak sihat dalam aspek perpaduan negara.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-Beluran) meminta kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melihat perkara yang dipersetuju dalam perjanjian MA63 iaitu satu pertiga kawasan Parlimen ialah kerusi daripada Sabah dan Sarawak.

“Perkara ini sudah didokumenkan dalam perjanjian itu. Maka sudah tiba masanya ia direalisasikan.

“Dari segi jumlah pengundi, memang Sabah dan Sarawak tidak boleh menandingi kerusi Semenanjung tetapi perjanjian MA63 menyatakan ia tidak tertakluk kepada jumlah pengundi semata-mata,” katanya.

Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (PBS-Kota Marudu) pula meminta pindaan umur layak mengundi 18 tahun yang dipersetujui Dewan Rakyat semalam ditangguhkan pelaksanaannya di Sabah.

Katanya, ini disebabkan di Sabah perkara itu perlu dilaksanakan dengan berhati-hati, berikutan isu kerakyatan yang menjadi masalah di negeri berkenaan.

213 dibaca
Berita Harian X