Rabu, 17 Julai 2019 | 5:22pm
YANG Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. - Foto BERNAMA

Menteri Kewangan tidak kelirukan Dewan Rakyat - Speaker

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, memutuskan tiada unsur provokasi dilakukan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menerusi kenyataan wang hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ‘dirompak’ kerajaan Barisan Nasional (BN), tahun lalu.

Menyatakannya selepas sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini, Mohamad Ariff berkata, ketetapan itu dibuat selepas meneliti ucapan Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dan isi kandungan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Saya menerima surat daripada Yang Berhormat (YB) Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob) untuk merujuk YB Bagan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana dikatakan mengelirukan Dewan.

“Selepas meneliti ucapan YB Bagan pada 7 Ogos 2018 dan laporan PAC, saya mendapati tiada unsur provokasi YB Bagan dan oleh itu tidak perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Tiada unsur prima facie (dalam kes) Bagan bahawa beliau mengelirukan Dewan,” katanya.

Ismail Sabri kemudian bangun dan menegaskan isunya adalah dakwaan Guan Eng bahawa hasil GST ‘dirompak’ sedangkan laporan PAC mengesahkan wang berkenaan disalur ke Akaun Hasil Disatukan.

“Wang itu tidak digunakan untuk kepentingan lain, maknanya tuduhan ‘merompak’ itu salah,” katanya.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan penyokong kerajaan bangun, termasuk Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang), Datuk Seri Ismail Mohamed (BN-Kuala Krau), RSN Rayer (DAP-Jelutong), Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) dan Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) untuk saling berbalas hujah.

Mohamad Ariff kemudian meminta Ismail Sabri mengemukakan usul jika mahu membincangkan Laporan PAC dan mempertahankan keputusannya atas asas sudah merujuk semua bahagian berkaitan.

Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) cuba meredakan keadaan dan mencadangkan Guan Eng berbesar hati menarik balik istilah ‘perompak’ serta mengeluarkannya daripada hansard.

Bagaimanapun, Dewan terus riuh dengan beberapa Peraturan Mesyuarat dibangkitkan, membuatkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menunggu kira-kira 40 minit untuk membentangkan usul kajian persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Mohamad Ariff kemudian menegaskan perkataan menyakitkan hati termasuk ‘perompak’ tidak boleh digunakan bagi mengakhiri suasana riuh sebelum memberi laluan Perdana Menteri membentangkan usul.

Ogos tahun lalu, Guan Eng mendakwa tabung amanah pembayaran balik GST kekurangan hampir RM18 bilion dan hanya mempunyai kira-kira RM1.5 bilion.

Antara lain, beliau mendakwa 121,429 syarikat dan individu belum menerima bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion sejak 2015, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kelewatan itu.

Isnin lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mahu Guan Eng dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa kenyataannya berhubung isu pembayaran balik GST mengelirukan Dewan.

Katanya, kenyataan Guan Eng pada 8 Ogos 2018 yang mendakwa kutipan GST ‘dirompak’ kerajaan terdahulu adalah pembohongan kerana laporan PAC mengesahkan tiada kehilangan wang daripada kutipan cukai itu.

904 dibaca
Berita Harian X