Rabu, 17 Julai 2019 | 3:31pm
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Lee Boon Chye. - NSTP/Owee Ah Chun

3,293 kes HIV direkod pada 2018

KUALA LUMPUR: Sejumlah 3,293 kes HIV yang bersamaan dengan kadar 10 kes bagi setiap 100,000 penduduk direkodkan di negara ini, tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata sebanyak 47 kes daripada keseluruhan jumlah berkenaan membabitkan mereka yang berumur bawah 18 tahun.

“Mengikut maklumat Majlis AIDS Malaysia (MAM), bantuan kewangan untuk kos pengurusan diberikan kepada 13 rumah perlindungan yang turut menerima pesakit HIV.

“Ia merangkumi Rumah Soleha (Kuala Lumpur) dan Casa Harapan (Pahang) yang menempatkan penghuni kanak-kanak pesakit HIV.

“Skop fungsi Kementerian Kesihatan ialah pencegahan penyakit, jagaan dan rawatan pesakit di hospital atau jagaan asas, tidak termasuk penyediaan rumah perlindungan sementara,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) mengenai statistik terkini kanak-kanak di negara ini yang dijangkiti HIV dan AIDS, selain jumlah rumah perlindungan dikendalikan kerajaan dan pihak swasta.

Dr Boon Chye berkata, kos pengendalian rumah perlindungan ditanggung Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), namun ia diserahkan kepada Kementerian Kesihatan pada 2017.

“Walaupun kita tidak mempunyai peruntukan khas untuk tujuan ini, namun atas dasar perikemanusiaan, sebahagian kos pengendalian rumah perlindungan dibiayai menggunakan dana bantuan kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ini memberi kesan kepada program pencegahan kerana peruntukan NGO amat terhad dan ia seharusnya dikhususkan untuk pencegahan dan kawalan HIV,” katanya.

Berita Harian X