Rabu, 17 Julai 2019 | 3:17pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membentangkan usul Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Sabah di Dewan Rakyat, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi

Pertambahan kerusi DUN Sabah manfaatkan rakyat - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pertambahan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berupaya meningkatkan tahap perkhidmatan wakil rakyat terhadap penduduk tempatan.

Perdana Menteri berkata, kajian semula persempadanan negeri itu dilihat memberi banyak manfaat kepada rakyat, terutama dalam menyalurkan perkhidmatan lebih cekap dan berkesan dalam kalangan wakil rakyat.

Katanya, keadaan itu akan berlaku dengan ketara di kawasan pedalaman, sejajar usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup dan merancakkan pembangunan di Sabah.

“Kajian persempadanan dan pertambahan bilangan DUN di Sabah akan memudahkan wakil rakyat serta penduduk berinteraksi membincangkan hal berkaitan kebajikan.

“Ia juga akan merancakkan pembangunan di kawasan Bahagian Pilihan Raya negeri itu,” katanya ketika membentangkan usul Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Sabah di Dewan Rakyat, hari ini.

Mula dibentang pada jam 12.20 tengah hari, usul berkenaan antara lain bertujuan menambah 13 kerusi DUN Sabah.

Dr Mahathir berkata, DUN Sabah meluluskan pindaan Undang-Undang ke atas Fasal (2) Perkara 14, Perlembagaan Negeri Sabah berhubung komposisi keanggotaan DUN daripada 60 kerusi kepada 73 kerusi yang berkuat kuasa pada 18 Ogos 2016.

Sehubungan itu, katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melakukan kajian persempadanan semula, selaras peruntukan Fasal (3A) Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.

“SPR sudah menyiapkan dan menyerahkan Laporan Kajian Semula Persempadanan kepada bekas Perdana Menteri dulu pada 21 Februari 2017, namun tidak diusulkan untuk dibentangkan pada sidang Parlimen ke-13 lalu.

“SPR selanjutnya menyerahkan semula laporan itu kepada saya pada 26 Jun 2018 dan diagihkan kepada semua Ahli Parlimen,” katanya.

Dr Mahathir berkata, SPR mengesyorkan tiada perubahan bilangan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan, tetapi berlaku perubahan sempadan disebabkan pembetulan sempadan.

Katanya, SPR turut mengesyorkan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Sabah ditambah 13 Bahagian membabitkan kawasan Bengkoka, Bandau, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Keramat, Limbahau, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, pembahagian bilangan pemilih berdaftar yang hampir sama banyak bagi setiap kawasan Parlimen dan DUN di Sabah sukar dilaksanakan berikutan wujud kawasan luar bandar yang keadaan topografi dan demografi sangat berbeza antara satu sama lain.

“Secara tidak langsung, ini mewujudkan kekangan dari segi lokasi terpencil, jarak antara lokasi di pedalaman yang amat jauh dan jalan perhubungan serta pengangkutan terhad.

“Hal demikian menyebabkan tumpuan penduduk di kawasan bandar jauh lebih tinggi berbanding penduduk di luar bandar.

“Bagaimanapun, SPR sedaya upaya berusaha meringankan beban wakil rakyat, khususnya di kawasan yang kemudahan perhubungan dan pengangkutan sangat terhad.

“Syor berkenaan diharap dapat membantu wakil rakyat menyampaikan perkhidmatan lebih cekap dan berkesan,” katanya.

688 dibaca
Berita Harian X