Rabu, 17 Julai 2019 | 11:37am
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (dua, kanan) diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darrel Leiking (dua, kiri) ketika hadir pada Majlis Perasmian 'Beyond Paradigm Summit 2019' di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC). - Foto BERNAMA

Terpulang kepada Azmin mahu bercuti atau terus kerja - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk bercuti atau terus bekerja sementara polis menyiasat kes penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan dirinya.

Perdana Menteri berkata, ia kerana Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR itu tidak boleh dianggap bersalah selagi belum dibuktikan bersalah di mahkamah.

"Terpulang kepada beliau jika mahu mengambil cuti atau terus bekerja kerana 'anda tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah’.

"Semua ini adalah mengenai gerakan politik, bukan soal mendedahkan salah laku seseorang, tetapi lebih untuk menghalang seseorang daripada berjaya dalam politik," katanya kepada media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Melangkau Paradigma: Mendorong Revolusi Industri 4.0 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin semalam yang menggesa pemimpin dan penjawat awam yang terpalit dengan video lucah supaya bercuti.

1931 dibaca
Berita Harian X