Selasa, 16 Julai 2019 | 8:53pm

Pengusaha filem gagal manfaat dana disediakan kerajaan

KUALA LUMPUR: Pengusaha filem kurang memanfaatkan dana di bawah Program Insentif Filem di Malaysia (FIMI) bernilai RM146 juta yang disalurkan menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) 2013 hingga 2015 dan RM124 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) bagi 2016 hingga 2018.

Rumusan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendapati program FIMI gagal mencapai objektif untuk memastikan lebih 50 peratus daripada dana itu dimanfaatkan syarikat pengusaha dan produksi filem tempatan.

Laporan itu juga mendedahkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) selaku badan bertanggungjawab menguruskan dana FIMI, hanya meluluskan lima projek filem tempatan bernilai RM12.42 juta (10 peratus) dari 2016 hingga Ogos 2018 iaitu tarikh pengauditan dibuat.

“Pengurusan program FIMI kurang berhemat dan kurang cekap kerana ada kelemahan kawalan dalaman dari aspek kelulusan, pembayaran, penyimpanan rekod, pelantikan perunding audit swasta dan pemantauan.

“FINAS juga didapati belum melaksanakan kajian penilaian ‘outcome’ berkaitan program FIMI, selain pembayaran berjumlah RM1.21 juta diluluskan walaupun permohonan tidak memenuhi syarat ditetapkan.

“Unit FIMI juga tidak menyimpan rekod kewangan, lejar perbelanjaan, resit dan bil oleh syarikat pemohon yang sudah disemak dan disahkan oleh perunding audit swasta untuk tujuan pemantauan tuntutan rebat serta pengauditan,” kata laporan itu.

Laporan itu juga menyebut FINAS tidak menyediakan kontrak perjanjian bagi perkhidmatan perunding audit swasta tetapi menerima pakai terma perkhidmatan yang dikemukakan oleh perunding audit swasta dilantik sebagai dokumen kontrak bagi menjelaskan terma perkhidmatan audit.

Menurut laporan berkenaan, FINAS juga tidak mempunyai senarai semak dan laporan pemeriksaan fizikal disediakan untuk 15 projek dari tahun 2013 hingga Jun 2018.

Justeru, bagi memastikan kelemahan yang dibangkitkan tidak berulang pada masa depan FINAS perlu meningkatkan aktiviti promosi di peringkat dalam dan luar negara.

Berita Harian X