Selasa, 16 Julai 2019 | 7:23pm

LKAN dedah salah tadbir dana SEDIC

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 1 2018 mendedahkan salah tadbir dana berjumlah jutaan ringgit disalurkan kepada Unit Khas bagi Program Pembangunan Sosioekonomi (SEDIC) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India dari 2014 hingga 2018.

Menurut LKAN, SEDIC yang ditubuhkan pada 7 Mei 2014, diberikan peruntukan RM203.89 juta oleh pentadbiran kerajaan terdahulu bagi memberi latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan dan peningkatan pencapaian pendidikan kepada masyarakat India dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus ke bawah (B40) dari tahun 2014 hingga 2018.

Bagaimanapun, laporan itu merumuskan program dilaksanakan SEDIC yang dijenamakan semula sebagai Unit Transformasi India Malaysia (MITRA), adalah kurang cekap kerana tiada rekod dan pangkalan data yang lengkap diselenggarakan untuk menilai pencapaiannya.

LKAN juga mendedahkan ada 49 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak memenuhi kriteria tetapi tetap diluluskan penerimaan dana berjumlah RM18.91 juta oleh SEDIC, pada tahun 2017.

Selain itu, ada juga kes di mana 20 fail NGO untuk 23 program dengan jumlah dana RM10.77 juta tidak diserahkan kepada SEDIC bagi semakan audit SEDIC, pada 2014.

Audit juga mendapati lima NGO dan satu Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) gagal memulangkan lebihan dana berjumlah RM2.86 juta selepas gagal mematuhi syarat memorandum persefahaman (MoU) dengan SADIC.

“Selain itu, 35 NGO dan empat ILKS lain pula dikesan tidak membuka akaun berasingan; enam program bernilai RM2.93 juta membabit enam NGO dilaksanakan oleh pihak ketiga dan sejumlah RM1.18 juta telah dibayar kepada pihak ketiga sebelum program bermula.

“Lima belas NGO dan satu ILKS yang dilawati telah membelanjakan dana tidak mengikut skop yang ditetapkan berjumlah RM2.77 juta dan lapan NGO tidak membuat pembayaran bagi elaun peserta, token lokasi, insurans dan kit peserta berjumlah RM1.89 juta.

“Sebanyak 18 NGO lain didapati tidak mengemukakan dokumen sokongan yang lengkap bagi pembayaran berjumlah RM8.13 juta,” katanya.

Bagi memastikan kelemahan yang dibangkitkan tidak berulang, LKAN mencadangkan supaya MITRA perlu menyediakan pangkalan data yang menyeluruh.

Berita Harian X