Selasa, 16 Julai 2019 | 5:53pm
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya. - Foto BERNAMA

SPRM tunggu taklimat Jabatan Audit

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Audit Negara sebelum memutuskan sama ada siasatan perlu dijalankan terhadap kelemahan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara semalam.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya, berkata sehubungan itu pihaknya kini menunggu tarikh untuk mendapatkan taklimat berhubung perkara itu sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Saya pun belum dapat tarikh… memang tunggu untuk dapatkan taklimat Jabatan Audit.

“Mereka akan beri taklimat tentang laporan (audit) itu, dan dari situ kami akan beri fokus kepada kes, di mana ada masalah jelas kami akan adakan siasatan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini hari ini.

Semalam, Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 mendedahkan beberapa perkara, antaranya berlaku manipulasi dan penipuan dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi meluluskan kuota pekerja asing sehingga menyebabkan kehilangan hasil kepada negara.

Sementara itu, menyentuh mengenai aduan kes rasuah yang diterima, Latheefa berkata penambahbaikan perlu dibuat memandangkan secara kasar hanya 30 peratus daripada aduan yang diterima SPRM adalah lengkap dan boleh dijalankan siasatan.

Beliau berkata, aduan mengenai kes rasuah boleh dibuat dalam pelbagai bentuk seperti melalui surat, aplikasi MACCMobile, SMS, e-mel, dan hadir sendiri ke SPRM.

“Kami juga terima lebih dari 10 surat termasuk surat layang yang menyalurkan maklumat mengenai rasuah yang mempunyai asas untuk siasatan dijalankan,” katanya ketika ditanya mengenai surat berhubung salah laku rasuah yang diterima SPRM.

Beliau berkata bukan semua surat yang diterima adalah surat layang kerana ada juga surat yang mempunyai maklumat pengirim.

Sehubungan itu, Latheefa menasihatkan orang ramai yang ingin membuat aduan atau menyalurkan maklumat berhubung salah laku rasuah agar meninggalkan maklumat pengadu untuk dihubungi bagi membolehkan pihaknya mendapatkan maklumat tambahan sekiranya perlu.

“Ada yang datang bagi maklumat asas sahaja dan itu menyukarkan kami untuk mengambil tindakan seterusnya jika kami tidak mempunyai maklumat lengkap pengadu.

”Kepada yang buat aduan jangan kata SPRM tidak ambil tindakan, bagi kami nama dan nombor telefon, alamat e-mel supaya boleh rujuk kepada anda (untuk maklumat lanjut),” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X