Selasa, 16 Julai 2019 | 2:49pm

ASM sudah pulangkan baki dana Projek RDC

KUALA LUMPUR: Akademi Sains Malaysia (ASM) sudah memulangkan baki peruntukan Projek ‘Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersialan (Projek RDC) berjumlah RM32,040,944.43 kepada kerajaan akhir bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hazami Habib, berkata urusan pemulangan baki peruntukan itu dilakukan selepas pencairan sijil simpanan tetap dana terbabit dilakukan.

Katanya, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada wakil Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) yang menghadiri mesyuarat ASM ke-136, pada 4 Julai lalu.

“ASM juga sudah menghantar surat kepada MESTECC pada 23 April lalu untuk menyatakan persetujuan bagi memulangkan dana berkenaan selepas proses pencairan sijil simpanan tetap dilakukan.

“ASM telah menghantar laporan penuh Perbelanjaan Projek RDC kepada MESTECC pada 3 Oktober 2018 untuk tindakan susulan MESTECC.

“Sehubungan itu, ada beberapa projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) yang dilanjutkan tempoh projek dan tamat pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ASM dilantik oleh MESTECC yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai Agensi Pemantau Projek (PMA) bagi Projek RDC.

Berikutan itu, ASM menandatangani projek dana pra-pengkomersilan di bawah RMKe-9 dan RMKe-10 yang sudah menyalurkan peruntukan berjumlah RM174,977,297.20 kepada ASM sebagai PMA bermula pada 29 Disember 2011 dan berakhir pada 28 Disember 2018.

Semalam, media melaporkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 1 2018 mendedahkan sejumlah RM31.66 juta dana Projek RDC tidak digunakan masih dalam pegangan ASM di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu belum dikembalikan semula kepada kerajaan.

Ia adalah antara penemuan Audit yang dijalankan antara November 2017 dan April 2018 yang mendapati dana di bawah RMKe-10 (2011-2015) yang tidak digunakan itu belum dikutip semula daripada ASM.

LKAN secara keseluruhannya merumuskan pengurusan dana RDC di bawah MOSTI ketika pentadbiran kerajaan terdahulu belum mencapai tahap kecekapan optimum yang mana sasaran ditetapkan tidak dapat dicapai sepenuhnya.

Berita Harian X