Selasa, 16 Julai 2019 | 1:29pm
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir.

KSU Perbendaharaan tidak mahu laporan PAC disalah tafsir

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir tidak mahu sebarang laporan media oleh pihak tertentu mengenai Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) disalah tafsir.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini menegaskan salah tafsiran berkenaan boleh menimbulkan salah faham atau persoalan awam mengenai hubungannya dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Saya ingin menegaskan sokongan penuh ke atas usaha Menteri Kewangan untuk memastikan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.4 bilion dikembalikan kepada syarikat yang membuat tuntutan dan telah melalui proses verifikasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia antaranya adalah kumpulan korporat terbesar di Malaysia seperti PETRONAS, Shell dan Tenaga Nasional Bhd.

“Saya bersependapat dengan rumusan laporan PAC bahawa sungguhpun tidak ada kehilangan wang dalam kutipan hasil GST, ianya telah digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan,” katanya.

Ahmad Badri berkata, beliau juga menyokong rumusan PAC bahawa kerajaan sebelum ini telah memasukkan semua hasil kutipan GST ke dalam Akaun Hasil Disatukan terlebih dahulu dan kemudiannya dipindahkan secara berperingkat apabila diperlukan, seperti diputuskan Jawatankuasa Pembayaran Balik GST ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST.

“Ini adalah tidak selaras dengan peruntukan Seksyen 54(2) dan Seksyen 54(5) Akta GST 2014 seperti yang dinyatakan oleh Peguam Negara,” katanya.

Selain itu katanya, sejak dilantik pada tahun lalu, beliau mempunyai hubungan baik dan memberi kerjasama penuh kepada Menteri Kewangan.

“Saya jua turut serta dalam pelbagai tugas rasmi di luar negara dan yang terkini adalah lawatan kerja ke China pada awal bulan ini.

“Saya menghargai keterbukaan Menteri Kewangan untuk mendengar semua idea dan menghormati perbezaan pandangan dalam mencapai keputusan yang terbaik bagi mencapai visi ke arah urus tadbir CAT – Cekap, Akauntabiliti dan Telus,” katanya,

Beliau berkata, dengan usaha bersungguh-sungguh dan semangat berpasukan, Kementerian Kewangan juga berjaya meyakinkan agensi penarafan kredit untuk mengekalkan taraf kredit antarabangsa Malaysia pada tahap A- atau A3.

“Selain mengendalikan hutang dan liabiliti negara yang mencecah RM1 trilion dan menjayakan terbitan bon dengan lancar seperti bon samurai sebanyak Yen 200 bilion pada awal tahun ini,” katanya.

526 dibaca
Berita Harian X