Selasa, 16 Julai 2019 | 12:57pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Kerajaan akan pastikan ketidakpatuhan bayaran balik GST tak berulang - Guan Eng

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan akan memastikan segala pelanggaran undang-undang dan ketidakpatuhan peraturan kewangan mengenai wang bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan terdahulu tidak berulang lagi.

Menteri, Lim Guan Eng, berkata berikutan itu dua syor utama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan dihormati kementeriannya.

“Rumusan laporan PAC menunjukkan bahawa kerajaan terdahulu telah menggunakan kutipan GST untuk tujuan lain, dan seterusnya menyebabkan kekurangan dana sebanyak RM19.25 bilion.

“Kementerian Kewangan akan menghormati kedua-dua syor utama PAC bagi memastikan segala pelanggaran undang-undang dan ketidakpatuhan peraturan kewangan mengenai wang bayaran balik GST oleh kerajaan terdahulu tidak akan berulang lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PAC dalam rumusan laporannya semalam mengesahkan bahawa terdapat beberapa ketidakpatuhan dalam bayaran balik GST menyebabkan pelanggaran Akta GST 2014 seperti dimaklumkan Peguam Negara kepada pihak PAC.

Akta GST 2014 memerlukan kutipan GST dimasukkan ke dalam Akaun Bayaran Balik GST bagi membolehkan bayaran balik dibuat dalam masa 14 hari bekerja.

Akan tetapi, ini gagal dilakukan seperti yang diperuntukkan akta itu, sebaliknya kutipan GST telah dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan. Hanya sebahagian daripada kutipan GST (kira-kira 35 peratus daripada jumlah kutipan) telah dipindahkan ke Tabung Bayaran Balik GST.

Rumusan laporan PAC menunjukkan bahawa kerajaan terdahulu telah menggunakan kutipan GST untuk tujuan lain, menyebabkan kekurangan dana sebanyak RM19.25 bilion. Ini kerana Tabung Bayaran Balik GST setakat 31 Mei 2018 hanya mempunyai RM150 juta.


Prosedur bayaran balik GST mengikut Akta GST 2014, di mana semua kutipan GST dimasukkan ke dalam Tabung Bayaran Balik GST terlebih dahulu supaya hasil kutipan tidak disalahgunakan untuk tujuan lain.


Prosedur yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu yang melanggari undang-undang di mana kutipan GST dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan dan tidak disalurkan ke dalam Tabung Bayaran Balik GST.

Seperti yang dinyatakan oleh Jabatan Akauntan Negara dalam laporan PAC, RM19.4 bilion yang sepatutnya digunakan untuk membuat pembayaran balik GST telah dibelanjakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Sedangkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengakui bahawa RM19.4 bilion masih lagi tidak dibayar akibat dana yang tidak mencukupi dalam Tabung Bayaran Balik GST.

Berikutan itu, PAC telah mengesyorkan dua langkah berkaitan iaitu pentadbiran kerajaan perlu memastikan pematuhan penuh undang-undang negara khasnya dalam pelaksanaan tatacara kewangan supaya sistem pentadbiran kewangan lebih teratur dan berakauntabiliti.

Seterusnya, pegawai kerajaan yang sudah diamanahkan perlu sentiasa menasihati pentadbiran kerajaan tentang undang-undang, prosedur dan maklumat perangkaan tanpa perlu ada rasa gentar atau pilih kasih terutamanya dalam mengamalkan perancangan aliran tunai dan disiplin kewangan yang lebih berakauntabiliti.

331 dibaca
Berita Harian X