Isnin, 15 Julai 2019 | 8:49pm

Orang yang kata tu perlu ke Tanjung Rambutan - PM

PUTRAJAYA: “Orang yang kata tu perlu pergi ke Tanjung Rambutan,” demikian reaksi sinis Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan kononnya penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dicadangkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU mengulas dakwaan kononnya parti itu yang ditubuhkan tiga tahun lalu adalah hasil daripada cadangan Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Dr Mahathir yakin tidak ada orang Melayu akan percaya dengan dakwaan sedemikian.

Beliau juga secara sinis berkata, bagi menubuhkan BERSATU, Kit Siang mengadakan mesyuarat dengan semua pemimpin Melayu berhubung cadangan untuk menubuhkan parti berkenaan.

“Lim Kit Siang adakan mesyuarat dengan semua pemimpin Melayu (untuk beritahu) adalah perlu pemimpin Melayu tubuh BERSATU... kalau awak nak percaya yang itu, awak boleh percaya,” kata Perdana Menteri secara sinis.

Beberapa hari lalu, bekas Naib Presiden BERSATU, Datuk Hamidah Osman mendakwa beliau adalah pemberi maklumat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai cadangan Kit Siang untuk Dr Mahathir menubuhkan BERSATU.

Hamidah dilaporkan mendakwa beliau turut hadir dalam satu mesyuarat dipanggil oleh Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, ketika itu yang turut dihadiri beberapa pemimpin lain selepas gerakan Deklarasi Rakyat dilihat gagal membuahkan sebarang impak.

Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X